Peluang pelajar dan guru tingkatkan kolaborasi, maksimumkan pembelajaran

SPAOH: Pembukaan semula sekolah memberi peluang kepada pelajar dan guru meningkatkan kolaborasi serta memaksimumkan pembelajaran secara bersemuka sebagai persediaan menduduki peperiksaan awam pada awal tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (Lakis) Dr. Abang Ismail Abang Julhi memberitahu, detik menuju tarikh peperiksaan sentiasa berjalan dan semakin mendekat.

“Tahniah serta syabas kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana telah menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk pembukaan sekolah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan awam SPM, SVM, STPM dan STAM, gunakan peluang ini untuk berkolaborasi dengan guru-guru dalam mentelaah topik-topik yang tertinggal.

“Selain itu, maksimumkan kelebihan pembelajaran secara bersemuka,” katanya kepada Suara Sarawak kelmarin.

Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) itu menjangkakan, suasana pembelajaran mungkin agak berbeza berbanding sebelumnya ekoran terpaksa akur dengan SOP yang ditetapkan.

“Sesi perbincangan secara bersemuka dengan kaedah sebelum ini tidak dapat dilaksanakan atas faktor keselamatan dan kesihatan bersama.

“Namun saya fikir guru mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan jarak sosial dapat dipatuhi dan dikekalkan… dan apa jua corak pembelajaran tidak akan menjejaskan prestasi pelajar,” ujarnya.

Abang Ismail menyarankan para guru supaya menggunakan pendekatan pembelajaran secara dalam talian di makmal-makmal komputer atau membenarkan pelajar membawa komputer riba sendiri agar pembelajaran dapat diterjemahkan dalam situasi yang sebenar.

Atau menggunakan pelbagai peralatan digital yang bersesuaian untuk pembelajaran yang lebih berkesan. Beliau menambah, esok merupakan satu detik bersejarah dalam landskap pendidikan negara kerana sekolah berjaya dibuka semula setelah lebih tiga bulan tidak beroperasi secara bersemuka.

Beliau berharap semua pihak mematuhi SOP yang digariskan agar rantaian pandemik Covid19 dapat diputuskan dan seterusnya negara bebas daripada sebarang ancaman.