MATU: Peluang pendidikan pada masa kini semakin terbuka luas dan berupaya menjadi pemangkin utama dalam mengubah masa depan generasi muda, khususnya murid di kawasan luar bandar, kata Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Beliau berkata, akses pendidikan yang semakin meluas memberi ruang lebih besar kepada anak-anak untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti, sekiranya mereka terus berusaha, berdisiplin serta mengekalkan kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.
Menurutnya, pendidikan bukan sekadar medium memperoleh ilmu pengetahuan, malah berperanan sebagai asas pembentukan jati diri, penerapan nilai murni serta pembangunan kemahiran insaniah yang penting dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
“Dalam dunia yang semakin mencabar dan berdaya saing, pendidikan merupakan kunci utama untuk membuka lebih banyak peluang. Murid perlu mengambil kesempatan daripada kemudahan serta sokongan yang tersedia bagi membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sekaan Kechil, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Johnie turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM35,000 bagi tujuan pembekalan peralatan sekolah sebagai komitmen berterusan beliau dalam menyokong keperluan serta kemudahan pendidikan di kawasan Parlimen Igan.
Katanya, peruntukan itu diharap dapat membantu pihak sekolah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, sekali gus meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik serta ibu bapa yang sentiasa memainkan peranan penting dalam membimbing dan menyokong perkembangan akademik serta sahsiah murid.
“Saya berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada sekolah dan menjadi dorongan kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap majlis berkenaan dapat menjadi pemangkin semangat kepada murid SK Sekaan Kechil untuk terus mencatat kejayaan, sekali gus mengharumkan nama sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.



