ARTIKEL

Peluang peniaga untuk kreatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ANCAMAN Covid-19 di negara kita masih belum reda kerana statistik kematian dan pertambahan kes masih berterusan. Oleh itu, adalah wajar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini. Banyak aktiviti perniagaan terpaksa ditutup.

Namun bagi sektor perniagaan penting seperti kedai makan, kedai menjual barangan serbaguna dibuka untuk orang awam.

Ahad lalu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam satu sidang media memberitahu beberapa premis perniagaan dibenarkan dibuka dua kali seminggu, pada Selasa dan Khamis dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Ia terdiri daripada kedai perkakasan, kedai input pertanian (baja, racun, makanan ternakan) serta kedai menjual alat tukar ganti (jentera pertanian dan industri). Namun bagi peniaga pasar malam dan bakal penjaja bazar Ramadan, mereka tidak lagi berpeluang berjaja pada tahun ini kerana Kerajaan Sarawak tidak membenarkan bazar Ramadan dibuka.

Oleh itu, pelan tindakan strategik dan berkesan perlu diambil sepanjang tempoh ini bagi memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan walaupun berada di dalam rumah sepanjang bulan Ramadan nanti.

Sebagai peniaga, langkah terbaik ialah mereka harus memanfaatkan media sosial melalui penggunaan Internet secara maksimum mempromosikan produk jualan barangan mereka. Mengambil contoh sebelum tibanya bulan Ramadan, peniaga boleh membuat semakan di seluruh media sosial bagaimana penjaja atas talian dilakukan sebelum menjual barangan mereka.

Tidak kiralah melalui Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, dan sebagainya, apa yang pasti info yang disebarkan sampai terus kepada pengguna mahupun pembeli dan mereka terikat dengan promosi jualan terutama melibatkan jualan makanan dan minuman.

Seperti yang sering disarankan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau mahu warga Sarawak memanfaatkan perniagaan secara digital. Maka dengan itu kita sebagai rakyat perlu memanfaatkan setiap usaha yang dijayakan oleh kerjaaan dengan memanfaatkan aplikasi Sarawak Pay yang memudahkan transaksi pembayaran tanpa tunai.

Apabila bazar Ramadan atas talian atau e-Bazar ini mula dibuka nanti pembayaran menggunakan Sarawak Pay boleh dipraktikkan kerana ia mudah termasuk penggunaan laman sesawang dan media sosial lain.

Justeru, semua para peniaga dan penjaja juga perlu berani mengambil cabaran kerana semua gaya hidup kita selepas ini tidak lagi sama seperti mana harihari sebelumnya.

Oleh itu, aspek kebersihan diri, keselamatan makanan, kebersihan pekerja dan sebagainya perlu ditekankan. Selagi aspek ini tidak dipraktikkan sepanjang menjalankan perniagaan ini, pelanggan akan hilang kepercayaan terhadap penjaja.

Ataupun adakah selepas ini, pelanggan akan lebih mementingkan kualiti kebersihan makanan yang dijual?

Selain itu, ia juga peluang untuk penggiat media sosial yang mempunyai pengikut yang ramai mempromosikan produk yang dijual oleh penjaja. Sehingga kini sahaja video yang dikatakan review oleh pengguna media sosial bukan lagi satu kelainan, malah ia menjadi kegilaan orang ramai untuk menonton walaupun tempoh yang panjang.

Inilah peluang dan masa terbaik bagi para peniaga untuk menyerlahkan kreativiti masing-masing dengan memanfaatkan media sosial. Bukan itu sahaja, video tutorial bagaimana mereka menghasilkan juadah berbuka puasa untuk dijual antara perkara yang boleh dilakukan.

Daripada proses mencuci sehinggalah siap untuk digoreng. Turut tidak ketinggalan kreativiti dari segi penyediaan pembungkusan makanan perlu dititikberatkan. Mereka juga perlu berani berfikir di luar kotak bagaimana cara untuk meningkatkan jumlah pelanggan terutama pada musim Ramadan dan Gawai nanti.

Sehingga kini di Facebook sahaja dianggarkan lebih 100 kumpulan Facebook rasmi yang dibangunkan khas di seluruh Malaysia khas buat para penjaja menjual juadah mereka. Singkirkan perasaan takut dan tanamkan di dalam diri anda bahawa setiap 20 orang yang melihat status yang dimuat naik dalam media sosial pasti ada dua pelanggan yang akan menempah untuk membeli.

Jadikan krisis di sebalik wabak Covid-19 sebagai satu rahmat untuk terus berjuang, meneroka segala peluang yang ada sepanjang tempoh PKP ini. Selagi ada ruang, di situ ada peluang. Jadi, manfaatkanlah ia secara bijak melalui kemudahan teknologi moden yang sudah berada dalam genggaman. Jadikan PKP sebagai cabaran dan dorongan untuk lebih bijak, kreatif merangka strategi, pelan tindakan bagi meraih keuntungan

BERITA LAIN

Buli siber beri kesan serius kepada kehidupan mangsa

BERLIN: Menteri-menteri Dalam Negeri negeri-negeri Persekutuan Jerman sedang meneliti sama ada untuk memperkenalkan kesalahan jenayah berasingan bagi pembulian siber, lapor agensi berita Jerman (dpa). Cadangan

BERITA TERBARU