Pemandu Grab lega seketika

KUCHING: Mulai 12 Julai, peraturan e-hailing akan berkuat kuasa. Peraturan tersebut merangkumi pemeriksaan kesihatan, insurans e-hailing, pemeriksaan Puspakom dan yang paling penting perlu memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Memandangkan ramai pemandu Grab menghadapi kesukaran apabila peraturan tersebut dikuatkuasakan, 80 peratus pemandu Grab dijangka kehilangan pekerjaan dalam perkidmatan ini.

Oleh yang demikian, kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan selama tiga bulan bagi pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat yang ditetapkan.

Menurut Khairool Tajuddin Tuah, 23, sebelum memohon lesen PSV, pelbagai langkah perlu patuhi dan proses tersebut memakan masa untuk dilaksanakan.

“Walaupun lesen mendapat pelbagai reaksi daripada pemandu yang lain, tetapi pihak kerajaan telah memberi peluang untuk menangguhkan tempoh permohonan PSV.

“Penambahan masa selama tiga bulan merupakan langkah yang wajar kerana masih ramai lagi pemandu Grab belum mendaftarkan diri dan bersiap sedia dengan lesen PSV.

“Antara faktor menyebabkan kami belum dapat memohon adalah kerana kekangan masa untuk menguruskan lesen tersebut. Tidak semua pemandu menjadikan perkidmatan e-hailing sebagai sumber utama mereka,” jelasnya.

Khairool menjelaskan lagi, walaupun permohonan PSV agak menyukarkan tetapi pada sudut positifnya, lesen PSV patut dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pemandu dan penumpang.

“Setelah PSV dilaksanakan, saya rasa lebih selamat daripada sebelumnya kerana dijaga oleh pihak insuran sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

“Lagipun, pendaftaran PSV tersebut hanyalah serendah RM10 sahaja.

“Oleh itu, pemandu Grab seharusnya mengambil peluang dalam tempoh tiga bulan ini untuk mendapatkan lesen PSV,” katanya.

Bagi Felix Joshua Tommy pula, penangguhan lesen PSV sememangnya memberi impak positif dan negatif.

“Jika kita lihat pada sudut positif, penangguhan ini mampu menjaga imej negara. Jumlah Grab yang banyak membantu mengurangkan masa menunggu bagi para pelancong terutamanya semasa waktu puncak.

“Lebih-lebih lagi sekarang masih musim Festival Muzik Hutan Hujan Seduni ramai pelancong menggunakan Grab sebagai pengangkutan awam untuk bergerak dari hotel ke destinasi sama,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dari sudut negatif, jumlah pemandu Grab yang banyak secara tidak langsung akan mengurangkan pendapatan pemandu Grab yang lain.

“Kebanyakan pemandu Grab yang tidak mempunyai lesen PSV akan mengambil kesempatan atas penangguhan tersebut,” ujarnya.

Menurut Padlli Rapaai, lesen PSV sebenarnya sangat penting bagi pihak pemandu dan penumpang Grab.

“Jika seorang pemandu tersebut belum mempunyai lesen PSV, para pemandu perlu menanggung dan bertanggungjawab sendiri atas segala kejadian yang berlaku.

“Seharusnya pihak kerajaan menghulurkan sedikit bantuan kepada pemandu e-hailing.

“Tempoh masa tiga bulan sebenarnya tidak mencukupi bagi sesetenagh individu untuk melengkapkan semua keperluan bagi mendapatkan PSV,” jelasnya.

Kata Padlli lagi, sejak kebelakangan ini, pendapatan harian bagi pemandu Grab semakin menurun.

“Semoga pihak berkenaan mempertimbangkan bayaran e-hailing kerana kebanyakan pemandu e-hailing mempunyai lesen PSV seperti pemandu teksi,” ujarnya. Menurut salah pemandu Grab OKU, Galang Jabai, syarat PSV sangat menyusahkan pemandu Grab terutamanya bagi golongan OKU.

Galang merupakan seorang atlet Sarawak, tetapi tidak menerima sebarang elaun bulanan renang.

Beliau hanya bergantung pada pendapatan Grab sahaja.

“Saya berpendapat, syarat PSV tidak mempertimbangkan warga OKU kerana banyak doktor yang enggan memberi kerjasama untuk menjalani pemeriksaan kesihatan untuk warga OKU.

“Padahal pemeriksa kesihatan merupakan syarat asas untuk menduduki kursus dan peperiksaan PSV,” jelasnya.

Galang berharap agar menteri berkenaan bertindak dengan segera untuk menangani isu ini.

“Kami sebagai pemandu e-hailing OKU kehilangan punca pendapatan. Kami berharap agar PSV dapat ditangguhkan untuk pihak OKU,” jelasnya.

Suara Sarawak