KUCHING: Seorang pemandu lori berusia 20 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Jalan Setia Raja, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Menurutnya, operasi yang berlangsung dari pukul 9.30 hingga 11 pagi itu membabitkan seorang pegawai kanan polis bersama-sama 16 anggota.
“Operasi itu dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa, selain mengesan pemandu kenderaan perdagangan yang memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Tambah Alexson, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemukan tiga paket lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan berat kasar 17.50 gram di dalam beg silang yang dipakainya.
Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
“Mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 11 Julai bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam operasi sama kata beliau, polis memeriksa 60 individu dan 55 kenderaan, selain mengeluarkan 16 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta menjauhi penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.



