BAU: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaannya terbabas dan terbalik ke dalam parit di Kilometer 18.5 Jalan Bau-Lundu berhampiran Kampung Stenggang, hari ini.
Mangsa, Kedang Gadi, 56, dari Kampung Koran Plaman, Serian mengalami kecederaan parah di kepala, muka dan anggota badan yang lain dalam kemalangan kendiri itu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati lori jenis rigid dumper yang dipandu mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan menghala ke Lundu dan terbalik ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tayar lori berkenaan pecah dan tayar hadapannya tercabut. Kegagalan mengawal kenderaan dikenal pasti sebagai punca kemalangan berdasarkan siasatan awal.
Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam lori sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bau dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Mohd Haide berkata, pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa sebelum kematiannya disahkan oleh petugas perubatan Hospital Bau pada jam 12.34 tengah hari.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bau untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 9 pagi esok. Lori berkenaan turut ditahan untuk pemeriksaan Puspakom, manakala polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
/tamat/





