SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini selepas dipercayai terlibat dalam insiden kemalangan maut yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal di bandar ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Tun Ahmad Zaidi Adruce.
“Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sepanjang prosiding berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan prosiding lanjut.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua orang penjamin tempatan, selain mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
“Berdasarkan fakta kes, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori simen yang dipandu tertuduh berlanggar dengan sebuah motosikal di lokasi berkenaan yang mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.
“Tindakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan terus diperkasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berdisiplin di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.



