Pemandu pelancong tarik nafas lega

KUCHING: Sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Bako, mencari haiwan dan jenis tumbuhan menarik untuk dikongsikan kepada pelawat adalah perkara biasa.

“Tetapi kini bau dan bunyi hutan yang sering terngiang-ngiang di telinga menggamit kerinduan saya pada setiap hari,” luah Zulhi Dobi, 42.

Beliau merupakan salah seorang pemandu pelancong di Taman Negara Bako yang kini terpaksa menyara hidup sebagai nelayan.

Berasal dari Kampung Bako, Zulhi hampir dua bulan tidak dapat bekerja sebagai pemandu pelancong ekoran pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Jelasnya, sejak sembilan tahun berkecimpung dalam industri pelancongan, Covid-19 memberi kesan teruk bukan sahaja di peringkat tempatan, malah kepada industri pelancongan di seluruh dunia.

“Ia jauh lebih teruk berbanding krisis jerebu yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau bangga menjadi pengantara sektor pelancongan Sarawak kerana mengetahui banyak perkara mengenai Taman Negara Bako.

“Antaranya jenis hutan, haiwan yang terlindung dan keunikan di dalam hutan ini untuk dikongsikan dengan pelancong luar,” katanya.

Disebabkan lama tidak bekerja, Zulhi dan rakan sekerjanya bersyukur dengan pengumuman Ketua Menteri Sarawak mengenai Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Ketua Menteri turut memberi perhatian terhadap kesukaran kami, walaupun pada awalnya berasakan tipis untuk mendapatkan bantuan.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Hutan Sarawak yang menjadi tempat untuk kami menyuarakan permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

“Sebagai pemandu pelancong, kami akan sentiasa memberikan khidmat terbaik demi menaikkan nama Sarawak di mata dunia,” ujarnya.

Zulhi menjelaskan, pekerjaan sebagai pemandu pelancong membuka peluang kepadanya untuk mengenali ramai orang.

“Saya harap rakyat Malaysia mematuhi SOP yang ditetapkan. Melanconglah di dalam negara kita kerana banyak tempat menarik harus dikunjungi dan berbanggalah,” katanya.

Khairol Nizam Naha, 34, yang menjadi pemandu pelancong sejak 2009 sehingga kini turut senada dengan Zulhi.

Menurutnya, sejak PKP dikuatkuasakan dan pertambahan kes Covid-19 di negara Eropah menyebabkan jumlah kedatangan pelancong menurun dan pembatalan tempahan pelancongan.

“Sebagai pemandu pelancong bebas dan berlesen, tiadanya tempahan, maka tiadalah rezeki masuk. Dengan tiadanya permintaan dan penutupan sempadan, ia memberi kesan kepada kami,” tegasnya.

Katanya lagi, bantuan Kerajaan Sarawak baru-baru ini sedikit banyak membantu pemandu pelancong bebas, memandangkan mereka tiada caruman KWSP dan bantuan daripada Perkeso.

“Sejak negara kita dilanda wabak Covid-19 ini, saya meneruskan kehidupan dengan wang simpanan dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan,” ujarnya.

Oleh itu, Khairol menyeru semua rakyat Malaysia untuk melancong dan mengenali keindahan alam semula jadi di dalam negara setelah wabak ini reda.

“Diharapkan Kerajaan Sarawak mempertingkatkan usaha promosi dan beri sokongan kepada semua pemain industri yang terjejas kerana Covid-19 ini, ” katanya.

Khairol berkata, sebelum ini dia sering menerima pelancong dari Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.

Suara Sarawak