
BINTULU: Kerja pembaikan di bahagian Jalan Bakeri Ting yang runtuh akan siap sepenuhnya dalam masa dua minggu, kata Adun Tanjung Batu Johnny Pang.
Beliau berkata, pembaikan akan mengambil masa dan kontraktor telah diarahkan untuk membina jalan masuk sementara ke Tanjung Batu.
“Saya beri mereka tempoh tiga hari untuk membina jalan masuk sementara ke Tanjung Batu. Saya akan membuat susulan dengan mereka secara dekat,” katanya usai melakukan tinjauan jalan runtuh di Jalan Bakeri Ting, hari ini.
Pang berkata, bahagian tertentu jalan itu telah runtuh akibat hakisan dan ia biasanya menampung kesesakan lalu lintas menuju ke kawasan Tanjung Batu dan Kidurong.
Pada masa ini terdapat projek pembinaan saliran yang dijalankan di kawasan tersebut.
“Atas sebab keselamatan, saya telah meminta mereka memasang lebih banyak lampu isyarat terutama pada waktu malam bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya bahawa jalan itu ditutup sementara supaya mereka boleh menggunakan jalan alternatif,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kontraktor supaya menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan sempurna, bagi mengelak menjejaskan keselamatan awam.





