KUCHING: Pembangunan bandar pintar lestari perlu memanfaatkan teknologi terkini, kecerdasan buatan (AI) serta tenaga hijau sebagai pemacu utama pertumbuhan masa depan negeri.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pendekatan bandar pintar kini menjadi keperluan mendesak dalam menangani cabaran urbanisasi yang semakin kompleks.

“Penggunaan teknologi berasaskan data mampu membantu kerajaan merangka penyelesaian lebih efektif dalam aspek kesihatan awam, pengurusan perumahan, mobiliti serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Pandemik COVID-19 mengubah dunia. Ia menjadi titik perubahan penting penyelesaian bandar pintar dan teknologi seperti ICT, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran awan digunakan secara meluas,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng sempena Persidangan Antarabangsa Bandar Pintar Lestari Pertama 2026 (ICSSC 2026) yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengimbas kembali perkembangan awal, beliau berkata Sarawak mula memberi perhatian dengan konsep bandar pintar sejak 2018 menerusi pelaksanaan Malaysia Smart City Framework.
“Pada ketika itu, Kuching dikenal pasti sebagai antara bandar perintis dengan memberi tumpuan kepada isu kesesakan trafik, banjir kilat, vandalisme serta kekurangan perumahan mampu milik.
“Pendekatan awal memberi fokus kepada mobiliti pintar dan alam sekitar pintar, termasuk penggunaan lampu isyarat pintar serta pemasangan sensor paras air,” katanya.
Menjelas lanjut katanya, usaha tersebut kemudiannya diperkukuh melalui Pelan Induk Bandar Pintar Kuching yang dibangunkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) antara 2019 hingga 2020.
Beliau berkata, negeri ini menyasarkan untuk muncul sebagai hab AI utama negara melalui pembangunan teknologi tempatan seperti KETEQ AI dan model DeepSAR.
Selain itu, inisiatif seperti SarawakPass dan SPay Global turut memudahkan urusan harian rakyat melalui perkhidmatan digital yang lebih cekap dan selamat.
Dalam aspek kelestarian, beliau memaklumkan Sarawak tampil sebagai antara peneraju tenaga bersih di rantau ini melalui peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Menjelas lanjut, elemen mobiliti hijau turut diberi perhatian menerusi penggunaan bas berkuasa hidrogen serta sistem Autonomous Rapid Transit (ART) di Kuching.
Namun, beliau menegaskan kemajuan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa pembangunan modal insan yang mampan.
“Sarawak memberi penekanan dengan pendidikan berkualiti, khususnya dalam bidang STEM bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Inisiatif seperti penubuhan sekolah antarabangsa Yayasan Sarawak serta CENTEXS menjadi platform penting dalam pembangunan bakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata, langkah memperkenalkan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri turut mencerminkan komitmen ke atas masa depan generasi muda.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh pembangunan kapasiti dan daya saing global.
Sehubungan itu, beliau berharap ICSSC 2026 dapat menjadi pemangkin kepada penyelidikan baharu, inovasi serta jaringan kerjasama strategik.
Lebih 100 rakan kerjasama Projek ERASMUS+ Smart City ASEAN Learning Network (SCALe) yang melibatkan 14 institusi dari Malaysia, Kemboja, Thailand, Itali dan Greece hadir ke persidangan ICSSC 2026.


