KUCHING: Pembangunan stesen hidro di Sarawak akan menjadi lebih mudah dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Elektrik (Pindaan) 2023, kata Mohamad Duri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka itu berkata, ia sekali gus akan memudahkan kerja pemasangan yang dilaksanakan di sepanjang sungai melalui pengawalan air dan sebagainya.
“Sungai merupakan salah satu sumber yang banyak di Sarawak dan dapat dimanfaatkan sebagai tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk menjana elektrik, melalui pemasangan tenaga hidro bagi penjanaan kuasa mampan.
“Dengan teknologi baharu, pemasangan hidro lata (cascading) itu juga memainkan pelbagai peranan termasuk membolehkan kawalan pengurusan air dan banjir yang lebih baik, penggunaan air untuk pengairan serta membangunkan bentuk aktiviti ekonomi lain di badan air takungan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan menyokong RUU Elektrik (Pindaan) 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi pada persidangan DUN Ke-19, di sini, hari ini.
Sementara menjelas lanjut, beliau memberitahu bahawa Sarawak sentiasa komited ke arah usaha kelestarian alam sekitar dan pelepasan karbon rendah.

