BINTULU: Pembangunan pesat sektor perindustrian di Bintulu dan Samalaju memerlukan lebih ramai tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi, robotik dan automasi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi, berkata pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi perubahan landskap pekerjaan.

Beliau berkata perkembangan teknologi digital dan automasi menyebabkan industri semakin memerlukan pekerja yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, malah menguasai kemahiran teknikal serta mampu mengendalikan teknologi moden.
“Jika dahulu banyak pekerjaan dilakukan secara manual, kini pelbagai proses industri menggunakan mesin, sensor dan sistem pemantauan pintar yang memerlukan pengetahuan serta kemahiran khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kesedaran STEM: Meneroka Dunia Robotik Tahun 2026 yang diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi(ADTEC) Jabatan Teknologi Manusia Kampus Bintulu, di sini pada Khamis.

Majang berkata keperluan tenaga kerja mahir semakin penting seiring dengan pembangunan kawasan perindustrian Bintulu dan Samalaju, yang memerlukan kepakaran dalam bidang elektrik, penyelenggaraan mesin, kejuruteraan, automasi serta pengendalian peralatan industri.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur dan kemudahan pelabuhan moden juga perlu disokong oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Dalam pada itu, Majang memuji usaha ADTEC JTM Kampus Bintulu menganjurkan seminar berkenaan yang memberi peluang kepada pelajar sekolah mendapatkan pendedahan secara langsung kepada teknologi, khususnya dalam bidang robotik.




