KOTA SAMARAHAN: Pembangunan infrastruktur di kawasan Saribas menunjukkan kemajuan ketara sejak 15 tahun lalu, khususnya dari segi jaringan jalan raya dan bekalan air yang kini mampu memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, ketika mula dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu, hanya kira-kira 40 peratus tempat mempunyai akses jalan raya dan bekalan air.
Menurutnya, dalam tempoh kurang dua penggal, hampir semua kampung dan rumah panjang di kawasan berkenaan berjaya dihubungkan melalui jalan raya serta menikmati kemudahan bekalan air.
“Memang ada satu dua masalah seperti gangguan bekalan elektrik dan air akibat kebocoran paip, tetapi secara keseluruhannya, kemudahan asas sudah banyak bertambah baik.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kita juga bertuah kerana di bawah kepimpinan Premier Sarawak, beberapa agensi pembangunan wilayah telah ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima skrol kedoktoran sempena Majlis Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sidang Pertama di DeTAR Putra, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razi menambah, kawasan itu turut mendapat manfaat daripada penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang menerima peruntukan RM1.5 bilion bagi mempercepat pembangunan di bahagian tersebut.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kepada kawasan Saribas bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan, terutama berkaitan infrastruktur dan sosioekonomi termasuk sektor pertanian.
“Selain BDDA, kita turut menerima RM113 juta menerusi peruntukan alternatif bagi membangunkan taman agro sebagai pemangkin pembangunan sektor pertanian di kawasan Saribas.
“Ini kerana sektor utama di Saribas ialah pertanian, manakala pembangunan berkaitan gas dan petroleum mempunyai corak tersendiri,” ujarnya.
Mengenai potensi pembangunan di kawasan Saribas susulan pembukaan beberapa jambatan dan pembangunan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling di Betong, Razi memaklumkan, kemudahan berkenaan mampu memberikan nilai tambah kepada perancangan pembangunan kawasan itu.
Katanya, kewujudan Jambatan Saribas 1 dan 2, Jambatan Batang Lupar 1 serta STOLport Bebuling yang terletak kira-kira 15 hingga 20 kilometer dari Saribas akan melengkapkan jaringan perhubungan dan menyokong pembangunan, khususnya dalam sektor pertanian.
“Semua kemudahan ini menjadi pelengkap kepada perancangan pembangunan kawasan kita, terutama bagi memperkukuh sektor pertanian,” tegasnya.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan mempertahankan kerusi DUN Saribas pada PRU Sarawak akan datang, beliau menyerahkan keputusan itu kepada kepimpinan parti.
“Jika masih diberi peluang dan kepercayaan, saya akan terus berkhidmat demi rakyat dan Sarawak, insya-Allah,” jelasnya.




