KUCHING: Pelbagai inisiatif pembangunan akan terus diperkasa menerusi penyediaan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat di seluruh pelosok Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan pembangunan yang inklusif amat penting bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus kemajuan yang sedang pesat berlaku di negeri ini.
“Kerajaan Sarawak akan terus komited memastikan pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
“Ini termasuk pembangunan infrastruktur, penyediaan kemudahan asas, pendidikan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2026.
Ujarnya, usaha memastikan pembangunan dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat termasuk di kawasan luar bandar akan terus menjadi agenda utama dalam usaha membina negeri yang maju, mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata, Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi baharu yang berteraskan inovasi, teknologi hijau dan pembangunan modal insan bagi menghadapi perubahan landskap dunia serta cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.
“Transformasi ini penting bagi memastikan Sarawak kekal berdaya tahan, selain mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat, khususnya golongan muda.
“Sarawak kini sedang melangkah ke arah ekonomi baharu yang dipacu oleh inovasi, teknologi hijau dan pembangunan modal insan agar generasi kita, terutama golongan muda, terus mempunyai peluang untuk maju dan berjaya di bumi sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau berharap sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini akan membawa kegembiraan, keberkatan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Sarawak.

