KUCHING: Pembangunan luar bandar bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, sebaliknya turut memastikan kesejahteraan dan keperluan setiap komuniti diberikan perhatian, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, pembangunan menyeluruh perlu mengambil kira keperluan harian penduduk, termasuk penyediaan kemudahan asas yang selamat dan selesa serta sokongan berterusan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, meskipun tidak dapat berada di setiap lokasi pada setiap masa, komitmennya untuk memastikan keperluan rakyat di Parlimen Kapit terus diberikan perhatian tidak pernah berubah.
Katanya, usaha pembangunan memerlukan kerjasama erat antara wakil rakyat dan agensi kerajaan supaya keperluan penduduk dapat dikenal pasti serta diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) di Rumah Naga, Nanga Merating, Kapit, hari ini.
Nanta turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan wakil rakyat, yang menurutnya antara nilai yang sentiasa ditekankan oleh mendiang Tan Sri James Jemut Masing demi kemajuan Kapit.

Pada majlis itu, beliau merasmikan projek pembinaan jeti besi baharu di Rumah Naga, Sungai Bena Sut, yang menelan belanja RM210,000 dan telah siap dilaksanakan.
Kemudahan itu dijangka menyediakan akses pengangkutan sungai yang lebih selamat dan selesa, khususnya kepada penduduk yang bergantung pada laluan sungai untuk urusan harian.
Beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM200,000 bagi membaik pulih bumbung dapur Rumah Naga demi meningkatkan keselesaan penduduk rumah panjang.
Dalam pada itu, Nanta menggalakkan penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai cadangan projek pembangunan supaya mengemukakan permohonan secara bertulis atau hadir terus ke pejabatnya untuk pertimbangan.


