KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan keperluan penyelarasan yang lebih mantap antara agensi pelaksana.
Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata usaha itu bertujuan memastikan projek pembangunan luar bandar di Sarawak dilaksanakan secara tersusun, telus dan berimpak tinggi.
“Saya menekankan agar setiap perancangan projek dan program dilaksanakan secara tersusun, telus serta berimpak tinggi demi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat bersama agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri Sarawak yang berlangsung di bilik mesyuarat Pejabat KKDW Sarawak semalam.
Rubiah turut menekankan aspek pemantauan berterusan bagi memastikan tiada kelewatan atau ketirisan dalam pelaksanaan projek, selaras dengan komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Rubiah menjelaskan bahawa pendekatan baharu yang diperkenalkan KKDW bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas, malah turut mengangkat agenda pemerkasaan ekonomi desa serta pembangunan komuniti secara menyeluruh.
Katanya, langkah penyelarasan yang diperkukuh ini dijangka mampu mempercepat pelaksanaan projek serta memastikan pembangunan luar bandar di Sarawak terus bergerak seiring dengan arus kemajuan negeri dan negara.–TVS



