BANDAR SERI BEGAWAN: Kerjasama strategik antara Sarawak dengan Brunei menerusi pendekatan pembangunan sempadan bersama berpotensi mentransformasi wilayah utara Sarawak sebagai koridor pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih berdaya saing serta mampan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, kawasan utara Sarawak yang meliputi Miri, Limbang dan Lawas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara bersama dengan pihak Brunei dengan memanfaatkan kelebihan serta kekuatan dua pihak yang saling melengkapi.
Beliau berkata, Sarawak memiliki sumber semula jadi yang melimpah, keluasan tanah serta kapasiti tenaga boleh diperbaharui, manakala Brunei mempunyai kelebihan dalam pensijilan halal, teknologi, pemprosesan makanan serta akses ke pasaran antarabangsa.
“Kita perlu bekerjasama melalui pendekatan pembangunan sempadan bersama yang memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi mewujudkan pertumbuhan yang saling melengkapi serta ekonomi serantau yang lebih berdaya tahan dan kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Brunei di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kekal menjadi tulang belakang ekonomi dan perlu terus diperkasakan melalui pendigitalan, penerapan teknologi, inovasi serta peningkatan kualiti produk.
Menurut beliau, kerjasama antara Sarawak dengan Brunei juga perlu diperkukuh dalam sektor ekonomi baharu khususnya pelancongan memandangkan kedua-dua wilayah mempunyai potensi besar untuk membangunkan pakej pelancongan rentas sempadan.
Beliau berkata, infrastruktur logistik Brunei yang kukuh mampu melengkapi usaha Sarawak bagi memperluas jaringan penerbangan menerusi AirBorneo.
Beliau menambah, potensi kerjasama perkongsian kod penerbangan (codeshare) antara AirBorneo dengan Royal Brunei Airlines mampu memperluas rangkaian destinasi serta mengukuhkan kedudukan Brunei sebagai pintu masuk ke rantau Kawasan Pertumbuhan Ekonomi ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Pada masa sama, Awang Tengah berkata Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor ekonomi berimpak tinggi seperti industri hiliran minyak dan gas termasuk pengeluaran metanol, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, pembuatan berteknologi tinggi, semikonduktor, aeroangkasa serta pengeluaran makanan moden.
Beliau berkata, kerjasama dalam sektor berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah memperkukuh jaminan keselamatan makanan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta menyokong pembangunan ekonomi mampan yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dan Brunei.
Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Brunei dianjurkan bagi mengeratkan hubungan dua hala melalui pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi, pelancongan, kebudayaan dan pembangunan masyarakat selaras dengan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara Sarawak dengan Brunei.

