ARTIKEL

Royston menyempurnakan simbolik perasmian Kem Wushu Taolu dan Wushu Sanda Bahagian Mukah 2025 dengan memukul gendang, hari ini. | Foto Mohd Alif Noni

Pembangunan sukan wushu di Mukah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Peserta Kem Wushu Taolu dan Wushu Sanda Bahagian Mukah 2025 diminta untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk memperoleh pengalaman sepanjang kem berlangsung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, berkata peluang serta ilmu yang diperoleh dalam kem ini penting untuk membantu peserta dalam pembangunan sukan wushu di Bahagian Mukah.

Royston (tiga kanan) menerima cenderamata daripada Ho (dua kiri) dalam majlis tersebut. | Foto Mohd Alif Noni

“Dengan pengalaman yang diperoleh, ia akan membantu peserta meningkatkan pencapaian mereka, tidak hanya di peringkat bahagian, negeri, tetapi juga di peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Kem Wushu Taolu dan Wushu Sanda Bahagian Mukah 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Boon, di sini, hari ini.

Royston turut memaklumkan bahawa Persatuan Wushu Mukah kini telah mendaftar secara rasmi di bawah Persatuan Wushu Sarawak, yang akan memudahkan persatuan itu melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Royston merakam kenangan bersama yang lain selepas majlis itu. | Foto Mohd Alif Noni

“Dengan pendaftaran rasmi ini, Persatuan Wushu Mukah mampu bersaing dengan persatuan dari bahagian lain dan seterusnya mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Ini juga menyokong pembangunan sukan wushu di Bahagian Mukah,” jelasnya.

Selain itu, Royston turut mengumumkan pemberian geran sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Wushu Mukah untuk membantu menyokong aktiviti yang dijalankan oleh persatuan tersebut.

Seramai 85 peserta, terdiri daripada individu berumur 5 hingga 21 tahun, menyertai kem tersebut.

Peserta bukan sahaja dari Mukah, tetapi juga dari Oya dan Dalat.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, dan Pengerusi Persatuan Wushu Mukah, Ho Ing Siong.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU