SIMANGGANG: Agenda membasmi kemiskinan bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi pelaksana dan rakyat sendiri, tegas Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi.
Menurut beliau, kerajaan kekal komited menyalurkan bantuan kepada golongan yang layak bagi membantu mereka berdikari dan meningkatkan taraf hidup dalam jangka panjang.
“Dalam konteks kebajikan, kita berharap bantuan yang disalurkan mampu menjadi pemangkin kepada ketua isi rumah (KIR) untuk terus berusaha meningkatkan pendapatan keluarga.
“Agenda membasmi kemiskinan merupakan tanggungjawab bersama dengan kerajaan menyediakan dasar serta bantuan, agensi melaksanakan program, manakala rakyat sendiri sebagai penerima perlu memanfaatkan peluang yang diberikan dengan penuh kesungguhan untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan Tahun 2026 bagi Daerah Sri Aman dan Daerah Pantu di Simanggang, hari ini.

Menurut Doris, usaha berkenaan selari aspirasi pembangunan negara yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan sosial supaya masyarakat luar bandar turut menikmati pembangunan secara adil dan saksama.
Tambahnya, inisiatif Sejahtera MADANI mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya golongan miskin di Sri Aman.
“Sehingga Mei 2026, statistik menunjukkan seramai 1,374 KIR berada dalam kategori tersebut.
“Daripada jumlah itu, 447 orang dari Daerah Sri Aman, 154 orang dari Daerah Pantu, 239 orang dari Daerah Lingga dan 534 orang dari Daerah Lubok Antu yang memerlukan perhatian serta sokongan berterusan daripada semua pihak,” tambahnya.

Pada majlis sama, Doris menyampaikan baucar bantuan bernilai RM500 kepada 20 KIR masing-masing dari Sri Aman dan Pantu, menjadikan keseluruhan bantuan berjumlah RM20,000.
Penerima terdiri daripada KIR berstatus miskin dan berdaftar dalam sistem e-Kasih.



