ARTIKEL

Wong Ai Ning (kiri) dan Datuk Alan Foo pada sidang media penjelasan pembatalan konsert Air Supply. Foto Faitullah Morni (TVS)

Pembatalan konsert Air Supply di luar kawalan, peminat terima bayaran balik penuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Twig Events menegaskan pihaknya tidak pernah berhubung secara langsung dengan kumpulan Air Supply sebaliknya hanya berurusan dengan Galaxy World Entertainment Sdn Bhd selaku ejen jelajah konsert, berhubung penganjuran Konsert Ulang Tahun Ke-50 kumpulan itu di Kuching.

Menurut pengendali acara Twig Events, Wong Ai Ning, pembatalan konsert berkenaan pada saat akhir adalah sesuatu yang di luar kawalan mereka dan turut mengejutkan, memandangkan segala persiapan telah siap sepenuhnya.

“Kami tidak dimaklumkan lebih awal mengenai sebarang isu dan hanya mengetahui pembatalan tersebut selepas Air Supply mengumumkannya di Facebook. Kontrak dan urusan kami hanyalah dengan Galaxy World Entertainment,” jelasnya pada sidang media di sini, semalam.

Konsert yang dijadualkan berlangsung malam ini di SBC Hall dijangka menarik kehadiran kira-kira 4,000 penonton, dengan jualan tiket mencatatkan permintaan tinggi sebagai tanda keterujaan peminat meraikan ulang tahun ke-50 kumpulan berkenaan.

Menurut Ai Ning, pihaknya kecewa apabila konsert yang dirancang sejak berbulan lamanya terpaksa dibatalkan pada saat akhir oleh faktor luar jangka mereka, sekali gus menjejaskan harapan peminat dan reputasi mereka sebagai penganjur tempatan.

Susulan itu, Twig Events memaklumkan pihaknya telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Seni, Festival dan Acara Hidup (ALIFE) serta memohon campur tangan pengerusinya, Datuk Alan Foo.

Mereka turut menggesa prosedur industri diperjelas bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Bagi pemegang tiket, Twig Events memberi jaminan bayaran balik penuh akan dibuat melalui platform pembelian asal.

Proses itu telah pun dimulakan dan dijangka selesai dalam tempoh 14 hari bekerja, tertakluk kepada penyedia pembayaran masing-masing.

“Keutamaan kami ialah melindungi kepercayaan peminat dan menjaga integriti acara muzik secara langsung di Sarawak. Walaupun berdepan dugaan ini, kami tetap komited membawa hiburan bertaraf dunia ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Alan yang juga Pengarah Urusan Star Planet Sdn Bhd mengakui industri konsert berisiko tinggi dengan pelbagai faktor boleh mempengaruhi kelangsungan sesuatu penganjuran.

“Bagi saya, Twig Events adalah mangsa dalam kejadian ini. Untuk masa depan, penganjur perlu lebih berhati-hati memilih ejen dan sentiasa menyemak latar belakang mereka sebelum membuat keputusan,” katanya.

BERITA LAIN

HIKMAH perkukuh gerak kerja dakwah

KUCHING: Harakah Islamiah (HIKMAH) akan terus memperkukuh keupayaan organisasi itu dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan pelbagai program pembangunan masyarakat Islam secara lebih sistematik serta

BERITA TERBARU

HIKMAH perkukuh gerak kerja dakwah

KUCHING: Harakah Islamiah (HIKMAH) akan terus memperkukuh keupayaan organisasi itu dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan pelbagai program pembangunan masyarakat Islam secara lebih sistematik serta