KUCHING: Pembeli rumah berhak menerima pampasan berdasarkan undang-undang yang memberikan mereka hak sah untuk mendapatkan bayaran balik penuh sekiranya projek tersebut melanggar kontrak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, pembeli juga boleh membatalkan perjanjian jual beli dengan pemaju sekiranya berlaku pelanggaran termasuk projek sakit atau terbengkalai.
“Disebabkan kegagalan pemaju menunaikan tanggungjawab mereka mengikut kontrak dalam perjanjian jual beli, pembeli rumah yang terjejas berhak menerima bayaran balik penuh, termasuk pampasan sehingga 10 peratus daripada harga rumah seperti termaktub dalam perjanjian.
“Selain, pembeli rumah yang terjejas juga boleh mendapatkan bantuan kewangan tertentu daripada institusi kewangan mereka, seperti moratorium, pengecualian faedah atau inisiatif lain yang seumpamanya.
“Semua perkara ini merupakan hak undang-undang yang boleh dituntut melalui peguam dan saluran yang betul dengan bantuan institusi kewangan bagi mendapatkan pampasan,” katanya pada sidang media semasa Persidangan DUN di sini, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan juga telah menangani perkara tersebut melalui Skim Pinjaman Perumahan Pegawai Awam Sarawak (Pindaan 2024) yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri.
“Inilah antara maklumat yang ingin kami kongsikan kepada orang awam supaya mereka tahu, apabila rumah mereka disenaraikan sebagai projek sakit, mereka boleh berurusan dengan institusi kewangan masing-masing.
“Kementerian juga akan terus mengambil langkah meningkatkan usaha pemantauan melalui verifikasi tapak, pemeriksaan berkala, penilaian lapangan terhadap projek serta berurusan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Mengulas lanjut, matlamat utama ialah mengambil pendekatan peraturan yang lebih proaktif dengan menambah baik undang-undang dan peraturan sedia ada.
“Kita akan terus menambah baik dan mengetatkan perundangan bagi melindungi dan mempertahankan hak pembeli rumah dalam perkara ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemaju perumahan bahawa kementerian mempunyai kuasa di bawah ordinan untuk mengambil tindakan pendakwaan terhadap pemaju projek sakit atau terbengkalai.
“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Besar Negeri untuk memulakan pendakwaan bukan sahaja terhadap syarikat pemaju, tetapi juga terhadap pengarah, pengurus dan pegawai syarikat yang terbabit dalam projek perumahan terbengkalai ini.
“Kita juga akan menyenarai hitam beberapa pemaju bermasalah yang terus gagal menyiapkan projek seperti dijanjikan kepada pembeli rumah,” katanya.
Sementara, Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya mendedahkan bahawa pasukan petugas di bawah Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan yang diketuai Tiang berjaya menyelesaikan 43 daripada 57 projek bermasalah.
Dalam konteks Sarawak, sebanyak 13 projek masih dalam pelbagai peringkat intervensi dan satu projek perumahan diisytiharkan terbengkalai dengan peratusan projek bermasalah adalah sangat kecil iaitu dua peratus.
“Perkembangan positif ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam melindungi hak pembeli rumah dan memastikan pemaju mematuhi Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013.
“Bagi meningkatkan ketelusan dan menyediakan maklumat yang mudah diakses oleh orang awam, senarai projek terbengkalai juga dipaparkan di laman web rasmi Kementerian untuk rujukan umum,” katanya.



