PEMBELIAN PANIK : Cetus situasi lebih buruk

PEMBELIAN panik, perbuatan membeli sejumlah besar barangan secara luar biasa.
Barang ini dibeli dalam jumlah besar untuk mengimbangi kekurangan potensi atau sebagai tindakan keselamatan.
Walaupun pembelian panik dapat mengakibatkan kenaikan harga barangan secara tiba-tiba, ia berbeza daripada rompakan kerana ia tidak melibatkan kecurian atau kerosakan harta benda yang disengajakan.
Kini, tingkah laku panik berikutan penularan wabak Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat, malah memburukkan lagi keadaan ekonomi.
Hakikat pembelian panik yang berlaku dapat memudaratkan situasi ekonomi semasa.
Ini kerana pembelian dalam kuantiti banyak oleh sebahagian besar pengguna pada satu-satu masa mendedahkan kepada manipulasi pasaran.
Lebih malang, pembelian panik turut menjejaskan peluang orang lain mendapatkan barangan keperluan pada harga normal, terutama golongan berpendapatan rendah.
Masyarakat perlu mengambil iktibar daripada krisis kewangan Asia yang berlaku pada 1997.
Terdapat dua pandangan yang diutarakan oleh kebanyakan ahli ekonomi dalam menerangkan mengapa negara Asia (termasuk Malaysia) terkesan teruk akibat krisis berkenaan.
Pertama, kelemahan struktur asas ekonomi negara berkenaan.
Kedua, tingkah laku panik oleh pelabur akibat jangkaan dan kehilangan keyakinan ke atas pasaran
Tingkah laku panik oleh pelabur ini didapati menjadi penyumbang utama kepada kejatuhan ekonomi Indonesia dan Korea Selatan semasa krisis 1997.
Pembelian panik kembali melanda negara apabila tercetusnya gelombang penularan Covid-9 yang melanda negara sekarang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik, kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan dalam pasaran.
Bekalan Barangan Terkawal
Menurutnya, bekalan barangan dalam pasaran ketika ini adalah terkawal.
“Kesemua anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin buat semua pengguna,” katanya.
Situasi itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan bekalan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi dan semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit, masih beroperasi seperti biasa.
Keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac 2020 apabila kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan dalam pasaran.
Menurut Nanta, pihak kementerian sentiasa membuat pemantauan harian terhadap keberadaan barangan keperluan pengguna termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.
“Pemantauan 12 barang keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039 pemborong terpilih daerah dan 223 pengilang terpilih daerah yang merangkumi 222 kawasan Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Di Sarawak, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguan (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik kerana barangan keperluan asas mencukupi.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sarawak sentiasa bersedia menghadapi sebarang pembelian panik oleh orang ramai.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada pembelian panik yang berlaku dan keadaan di kawasan tumpuan orang ramai adalah terkawal.
“KPDNHEP Sarawak dan cawangan juga diarahkan membuat hebahan kepada orang ramai agar tidak panik dengan isu tidak sahih seperti mana ditularkan di media sosial,” ujarnya.
Walaupun tiada pembelian panik di Sarawak, media cetak dan media sosial harus memainkan peranan menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat.
Jika keadaan panik tidak dibendung, nescaya ia dapat menyebabkan keadaan lebih buruk hingga boleh berlakunya tolak menolak, salah faham, konflik dan persengketaan.
Sikap Tidak Bertanggungjawab
Pembelian panik juga mampu menyebabkan bekalan barangan keperluan asas, terutama makanan dan kebersihan diri kehabisan.
Sekiranya bekalan barangan harian berkurangan dan habis, pengguna terutama mereka yang betul-betul memerlukan akan menjadi mangsa.
Ia juga menyebabkan sesetengah peniaga tidak bertanggungjawab mengambil peluang menaikkan harga barang.
Malah, dapat menjerumuskan pengguna kepada pembaziran kerana barangan dibeli dalam jumlah banyak itu sebenarnya di luar keperluan dan berkemungkinan akan habis tarikh luput.
Oleh itu, pengguna perlu bersikap tenang dalam mengharungi situasi semasa.
Sikap tenang bukan sahaja dapat membantu diri individu itu sendiri, malah mengelak orang sekeliling turut terpengaruh dengan apa-apa yang berlaku.
Dengan tujuan mengelak peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang menaikkan harga barangan keperluan sesuka hati, tindakan tegas berdasarkan peruntukkan undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) perlu diambil segera terhadap peniaga berkenaan.