KUCHING: Pemberian tender dan kontrak perkhidmatan keselamatan bagi sekolah-sekolah kerajaan di Sarawak adalah sepenuhnya di bawah urusan Kerajaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.
Justeru, beliau menegaskan dakwaan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan tender dan kontrak tersebut diberikan kepada syarikat tempatan menunjukkan kejahilan terhadap prosedur dan merupakan naratif politik.
“Saya bersetuju bahawa syarikat keselamatan Sarawak sedang dipinggirkan dan diketepikan dalam hal ini, namun ia tiada kaitan dengan GPS kerana lesen syarikat yang terlibat adalah sepenuhnya di bawah urusan Kerajaan Persekutuan
“Chong sepatutnya bertanya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengapa ramai pemohon lesen syarikat keselamatan tidak diluluskan oleh kementerian tersebut.
“Beliau juga harus bertanya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengapa banyak syarikat dari Semenanjung diberi kontrak tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kenyataan Chong bahawa pengarah syarikat keselamatan bukan dari Sarawak perlu mendapatkan permit kerja dan visa kerja daripada Jabatan Imigresen Sarawak untuk melakukan lawatan tapak ke sekolah-sekolah berkenaan juga adalah tidak benar.
“Ia amat memalukan apabila seorang peguam, ADUN, Ahli Parlimen dan bekas timbalan menteri tidak menyemak fakta terlebih dahulu.
“Bagaimana seorang penggubal undang-undang seperti beliau tidak tahu bahawa di bawah Seksyen 66, Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63, dinyatakan bahawa seorang warganegara tidak berhak memasuki Sabah dan Sarawak tanpa mendapatkan permit atau pas adalah untuk tujuan pekerjaan sahaja.
“Ini kerana Pekeliling Imigresen Jilid 1/2003 membenarkan penggunaan Pas Lawatan Sosial untuk warganegara (bukan penduduk tetap) untuk 12 aktiviti termasuk lawatan tapak, tinjauan perniagaan atau perbincangan perniagaan,” jelasnya.
Oleh itu katanya, permit atau visa tidak diperlukan untuk tujuan berkenaan dan pekeliling tersebut turut diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Sarawak.
“Chong sepatutnya bertindak sebagai seorang ahli parlimen kerajaan yang sebenar dengan membantu lebih banyak syarikat keselamatan Sarawak mendapatkan lesen daripada KDN dan membimbing mengenai cara menyertai proses tender.
“Beliau juga perlu sedar bahawa kebanyakan syarikat keselamatan yang mendapat kontrak di sini berasal dari Semenanjung, dan mereka juga dilobi oleh ahli perniagaan tempatan untuk mendapatkan kontrak tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini terdapat sebanyak 14 syarikat keselamatan di Sarawak dan kebanyakannya diuruskan oleh ahli perniagaan bukan Bumiputera, manakala kebanyakan pengarah Bumiputera hanyalah sebagai ‘nominee’.
Sehubungan itu, beliau menasihati Chong agar menyemak fakta terlebih dahulu sebelum menyerang Kerajaan GPS.




