Pemberontak Rakhine culik 31 pekerja

YANGON: Suspek pemberontak etnik Rakhine menyamar sebagai pasukan sukan menyerbu sebuah bas di pedalaman Myanmar dan menculik 31 orang, kebanyakannya anggota bomba dan pekerja pembinaan yang bercuti, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Global New Light of Myanmar yang menyokong kerajaan berkata, bas itu dalam perjalanan ke Sittwe, ibu negeri Rakhine. Mereka ditahan oleh seorang lelaki berpakaian awam sebelum 18 pemberontak bersenjata dalam pakaian sukan muncul dari hutan dan menawan penumpang.

“Kami masih mengekori mereka,” kata Kolonel Win Zaw Oo kepada AFP, sambil menambah pemberontak mungkin menyangka bomba berkenaan adalah anggota angkatan tentera.

Pasukan Arakan Army, yang berjuang untuk mendapatkan lebih banyak autonomi bagi etnik Buddha Rakhine, bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen lanjut.

Tentera Myanmar mengerahkan ribuan anggotanya ke negeri itu dalam usaha untuk menumpaskan kumpulan pemberontak.

Sementara itu, kumpulan hak asasi mengatakan bahawa tentera Myanmar menculik orang awam dan dan menyeksa tahanan. Wilayah Rakhine merupakan lokasi tindakan keras tentera pada Ogos 2017 menyebabkan kira-kira 740,000 minoriti Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.