KUCHING: Pembinaan 21 jambatan secara serentak dalam tempoh enam tahun menunjukkan kesungguhan Sarawak membangunkan infrastruktur bagi menghubungkan kawasan yang dipisahkan sungai, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur, khususnya jambatan, menjadi keutamaan kerajaan Sarawak berikutan keadaan geografi negeri itu yang mempunyai banyak sungai dan memerlukan kemudahan perhubungan yang menghubungkan kawasan di kedua-dua tebing.
“Kita sememangnya dikurniakan banyak sungai.
Kita mempunyai begitu banyak sungai sehingga jurutera perlu membina jambatan merentasinya.
“Dalam tempoh enam tahun, Sarawak sedang membina 21 jambatan secara serentak.
Jambatan-jambatan itu besar, namun saya ingin berterima kasih kepada jurutera kita kerana berjaya melaksanakan apa-apa yang saya minta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena Perhimpunan Agung ke-34 Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) serta Kongres Kejuruteraan Dunia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Justeru kata Abang Johari, peranan jurutera tidak terhad kepada pembangunan infrastruktur, sebaliknya turut penting dalam menangani cabaran baharu yang dihadapi dunia, termasuk perubahan iklim dan keperluan peralihan kepada tenaga bersih.
Katanya, tenaga merupakan antara elemen utama yang menggerakkan ekonomi sejak Revolusi Perindustrian pertama, justeru Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga lestari.
“Lebih banyak tenaga hijau diperlukan berikutan isu perubahan iklim global. Kita berkumpul hari ini dalam keadaan berjerebu, mungkin juga disebabkan isu iklim.
“Oleh itu, jurutera hari ini, pada pandangan saya, perlu mencari penyelesaian isu perubahan iklim ini dan pada masa sama meneroka idea baharu bagi mengurangkan kesannya,” jelasnya.




