SEBUYAU: Kerajaan Sarawak akan menaik taraf Jajaran A2
dari Kampung Sungai Ladong ke Jambatan Batang Lupar di Sebuyau kepada jalan berkembar, sekali gus melengkapkan rangkaian Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) yang dijangka memendekkan perjalanan dari Jambatan Batang Lupar ke Kuching kepada kira-kira sejam.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, ketika ini projek Jajaran A2 Sebuyau-Sungai Ladong melibatkan pembinaan jalan tunggal sepanjang 28 kilometer, kini mencapai kemajuan fizikal 17 peratus dan dijangka siap mengikut kontrak pada Ogos 2028.
Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh siap projek dijangka berubah susulan keputusan kerajaan negeri untuk menambah satu lagi lorong bagi menjadikan keseluruhan jajaran sebagai jalan berkembar.

“Jalan ini akan dibina sebagai jalan berkembar bermula dari Jambatan Batang Lupar hingga ke Jambatan Batang Sadong, seterusnya ke Jambatan Batang Samarahan.
“Apabila siap nanti, keseluruhan laluan dari Jambatan Batang Lupar hingga ke Jambatan Batang Samarahan akan menjadi jalan dua lorong mengikut piawaian JKR R5,” katanya kepada pemberita ketika meninjau perkembangan projek berkenaan, di sini, hari ini.
Aidel berkata, projek bernilai RM524 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan merupakan sebahagian daripada program pembangunan Jalan Utama Kedua serta jalan pesisir.
Menurutnya, jajaran itu turut mempunyai ciri unik apabila melibatkan pembinaan jalan bertingkat sepanjang kira-kira 14 kilometer, yang disifatkan antara yang terpanjang pernah dibina di negeri ini.
Katanya, jalan bertingkat berkenaan merangkumi jajaran sepanjang 800 meter di kawasan Taman Negara Sedilu, Simunjan serta kira-kira 13 kilometer dari Jambatan Batang Sadong ke kawasan berhampiran Pulau Moyan.
Dalam pada itu, Aidel berkata, apabila keseluruhan rangkaian siap, jarak perjalanan dari Jambatan Batang Lupar ke Jambatan Batang Sadong ialah 32 kilometer, diikuti 21 kilometer ke Jambatan Batang Samarahan dan 17 kilometer lagi ke Jambatan Sejingkat.
“Ini bermakna keseluruhan perjalanan dari Jambatan Batang Lupar hingga ke Jambatan Sejingkat hanya sekitar 70 kilometer dan boleh ditempuhi dalam tempoh kira-kira sejam,” katanya.
Tambahnya, semua projek di bawah program Jalan Utama Kedua, Jalan Pesisir, pembinaan jambatan utama serta beberapa jalan penghubung dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Ujarnya, pembangunan rangkaian jalan itu turut menyokong pelaksanaan pelbagai koridor pembangunan negeri seperti Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di seluruh wilayah.



