Pembuatan pakaian Iban lumayan

KUCHING: Persatuan masyarakat Iban di Sarawak disaran menceburi industri pembuatan pakaian dan perhiasan tradisional kaum itu untuk menambah sumber pendapatan mereka.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, ramai mendakwa kaum Iban ketinggalan dalam bidang perniagaan sedangkan ada banyak barangan yang boleh dihasilkan dan dijual untuk mendapatkan duit.

Menurutnya, set lengkap pakaian tradisional wanita Iban dan perhiasan sahaja menelan kos sekurang-kurangnya RM1,000.

“Begitu juga set lengkap pakaian dan perhiasan tradisional lelaki Iban menelan kos sekurangkurangnya RM1,000. Bagi perhiasan kepala bulu ruai pakaian itu boleh mencecah RM150 bagi tiga helai bulu,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Kelas Main Asal Akademi Persatuan Iban Dayak Sarawak (Asadia) di Jalan Kuching-Serian, semalam.

Rentap menambah, pakaian tradisional Iban berbeza mengikut kawasan penempatan di negeri ini. “Untuk mendalami perbezaan terbabit, satu simposium ngepan Iban akan diadakan di Betong pada November depan,” katanya dan mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada Asadia.

Seramai 45 peserta menerima sijil menari ngajat, manakala tiga peserta menerima sijil bermain alat muzik tradisional belikan dan tiga peserta menerima sijil mempelajari seni mempertahankan diri kuntau. Presiden Persatuan Dayak Uban Sarawak (Sadia) Sidi Munan dan Ketua Asadia Mabong Unggang turut hadir.