Pembukaan pusat urut masih dibincang

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak akan berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Sarawak mengenai kebenaran pengoperasian semula pusat urut dan refleksologi di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama JPBNS pada bila-bila masa untuk mengulas mengenai isu ini. “Walaupun pertimbangan ini dilihat dapat membantu menggerakkan ekonomi dan pendapatan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan.

“Pada masa sama, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk melihat kepada keselamatan orang awam. “Hal ini kerana saya amat khuatir dengan keselamatan kesihatan kerana kita tahu perkhidmatan ini memerlukan kontak fizikal dengan pelanggan,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan bakul makanan kepada OKU cacat penglihatan, pada Selasa.

Ujarnya, bagi tukang urut cacat penglihatan mereka juga tidak dapat melihat atau memastikan pelanggan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sepatutnya dalam pemakaian topeng muka dan sebagainya.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (Cawangan Sarawak), Isak Ngau memohon kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Fatimah supaya membenarkan pusat refleksologi beroperasi semula.

Mengulas mengenai pendapatan tukang urut cacat penglihatan yang terjejas Fatimah menjelaskan, pihaknya juga akan melihat mengenai bebanan yang terpaksa mereka tanggung semasa pandemik Covid-19.

“Isak dan rakan-rakan juga mengalas beban yang tinggi dan terpaksa membayar sewa dua premis kedai mencecah sekitar RM450 sehingga RM2,500 sebulan. “Justeru, kami akan berbincang mengenai isu ini supaya sewa bulanan akan dapat dikecualikan kerana tidak beroperasi,” katanya.

Fatimah menjelaskan, dahulu Daerah Kuching berada di zon merah dan banyak aktiviti serta operasi ekonomi dan pendidikan terpaksa dihentikan dan sekarang kes positif Covid-19 di Sarawak menunjukkan penurunan.

“Bagi pertimbangan untuk membuka pusat refleksologi ini, kita juga perlu memastikan operasi ini tidak akan menimbulkan risiko dan kluster yang baharu disebabkan oleh kontak fizikal.

“Justeru buat masa sekarang, kita juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan operasi ekonomi tidak boleh dilaksanakan secara mengejut supaya kita dapat memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Jelas beliau, bagi pembukaan taska dan tadika, ia merupakan perkhidmatan yang diperlukan petugas barisan hadapan dan ibu bapa yang bekerja.