ARTIKEL

Rakaman kenangan Delegasi Digital Sarawak di Level Up KL.

Pemenang SwkGDC pamer prototaip permainan di LEVEL UP KL 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak terus mengukir nama dalam industri permainan digital apabila tiga pasukan pemenang SwkGDC Game Jam 2025 berjaya mempersembahkan prototaip permainan mereka di persidangan pembangunan permainan terbesar Asia Tenggara, LEVEL UP KL 2025.

Antara tiga pasukan pemenang SwkGDC Game Jam 2025 ialah Fracture oleh pasukan Custom, Unseen oleh MADEVS, dan CubeCat oleh Zerose.

Pemangku Ketua Bahagian Inovasi dan Keusahawanan SDEC, Khairool Adzelan Aman berkata, beliau yakin dengan potensi besar yang dimiliki negeri ini.

“Kita boleh menantikan masa depan industri animasi dan permainan video Sarawak berdiri sebaris dengan pencipta bertaraf dunia.

“Peranan SDEC ialah membuka peluang termasuk memupuk bakat, menggalakkan kerjasama dan mengubah potensi kreatif Sarawak menjadi permainan dan pengalaman yang mampu menginspirasi dunia,” katanya menerusi kenyataan.

Persidangan yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober lalu di Pusat Persidangan dan Acara Connexion (CCEC), Kuala Lumpur itu juga menghimpunkan pembangun, penerbit, pelabur dan tenaga kreatif dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pandangan, membina jaringan serta memperkenalkan inovasi dalam industri permainan video.

Acara yang dianjurkan setiap tahun oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu turut menjadi platform penting untuk menghubungkan bakat tempatan dengan pemain industri antarabangsa bagi merangsang pembangunan ekosistem digital negara.

SDEC menerusi kenyataan yang sama memaklumkan, selepas persidangan tersebut juga pihaknya telah menganjurkan lawatan studio industri untuk para pemenang dan ahli komuniti SwkGDC pada 9 Oktober lalu.

Katanya, rombongan tersebut melawat PlayStation Studios Malaysia – para peserta diberi peluang menyaksikan sendiri operasi dalaman salah satu studio permainan video paling terkenal di dunia.

Melalui kerjasama dengan CtrlD Studio, yang menjadi mentor serta pembimbing kepada para pemenang dalam menambah baik prototaip dan persiapan pameran, SDEC terus memperkukuh laluan yang menyokong bakat kreatif melalui penyediaan sumber, bimbingan dan akses pasaran sekali gus memastikan ekosistem industri kreatif ini berkembang secara mampan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU