ARTIKEL

Kennedy Chukpai mengucapkan takziah atas pemergian Tajang.

Pemergian Datuk Seri Bo’ Tajang Kehilangan Besar Buat Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mendiang mantan menteri Sarawak Datuk Seri Bo’ Tajang Laing dikenang sebagai tokoh perintis kepimpinan Orang Ulu serta sumber inspirasi kepada pemimpin muda dalam membawa suara masyarakat pedalaman.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Tajang merupakan tokoh perintis yang banyak berjasa kepada Sarawak dan negara.

“Sebagai Menteri Orang Ulu pertama dalam kabinet awal Sarawak, mendiang bukan sahaja mencipta sejarah, malah membuka jalan kepada penyertaan lebih luas masyarakat luar bandar dan pedalaman dalam arus pembangunan negeri.

“Sumbangan beliau dalam membina asas pentadbiran negeri, memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum serta memperjuangkan suara rakyat Sarawak akan sentiasa dikenang dan dihargai.

“Sesungguhnya, beliau adalah antara generasi awal pemimpin yang meletakkan asas kukuh kepada kemajuan Sarawak hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Nancy turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga termasuk anak mendiang iaitu Livan Tajang.

Sementara itu, ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang berkata, pemergian mendiang yang disifatkan sebagai figura bapa merupakan kehilangan besar kepada komuniti Orang Ulu serta seluruh negeri.

Mengulas lanjut, katanya, Tajang memainkan peranan penting dalam menyemai kepentingan pendidikan, sekali gus memperkasa generasi untuk berusaha mencapai masa depan yang lebih baik.

ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon pula berkata, perjalanan hidup mendiang memberi harapan dan keyakinan bahawa anak-anak dari hulu sungai mampu bangkit, memimpin dan membentuk masa depan Sarawak.

“Sebagai menteri Orang Ulu yang pertama, beliau memecahkan batasan dan membuka jalan kepada pemimpin dari pedalaman, termasuk kami dari Murum dan Belaga untuk bersuara di peringkat tertinggi kerajaan.

“Bagi masyarakat Murum dan Belaga, legasi beliau amat dekat di hati. Beliau memahami realiti kehidupan di pedalaman iaitu cabaran dari segi perhubungan, pendidikan, kesihatan, dan peluang ekonomi,” tegasnya.

Mengimbas kembali perjalanan awalnya dalam perkhidmatan, Kennedy berkata mendiang sanggup meredah pedalaman tanpa jemu melalui sungai dan jalan balak, malah dalam keadaan mencabar, semata-mata untuk bertemu dan memahami kesusahan rakyat.

“Kisah itu kekal dalam ingatan saya. Ia mengajar saya bahawa kepimpinan bukanlah tentang jawatan, tetapi tentang kehadiran.
“Semangat yang sama terus membimbing saya hingga hari ini untuk berkhidmat kepada rakyat Murum dan Belaga agar sentiasa dekat di akar umbi, memastikan tiada komuniti tercicir, selain membawa suara rakyat dengan penuh keikhlasan serta tanggungjawab,” kongsinya.

BERITA LAIN

Urus tanah gambut secara menyeluruh

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengurusan tanah gambut secara menyeluruh bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan risiko jerebu, terutama menerusi strategi berasaskan sains dan perancangan jangka panjang.

BERITA TERBARU

Urus tanah gambut secara menyeluruh

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengurusan tanah gambut secara menyeluruh bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan risiko jerebu, terutama menerusi strategi berasaskan sains dan perancangan jangka panjang.