KUALA LUMPUR: Jasa dan kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang berlandaskan prinsip Islam Hadhari (Islam yang bertamadun), akan sentiasa dikenang rakyat dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyifatkan pemergian tokoh negarawan itu sebagai satu kehilangan besar kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Jasa dan kepimpinan beliau yang berteraskan Islam Hadhari serta memberi penekanan kepada pembangunan modal insan sepanjang menerajui negara dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, akan kekal dikenang selama-lamanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi hari ini.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham di ibu negara pagi tadi.
Tun Abdullah, yang merupakan Perdana Menteri Kelima Malaysia, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam, semalam.




