ARTIKEL

Nancy ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di Hotel Pullman Kuching, hari ini.

Pemerkasaan wanita perlu kerjasama semua pihak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Agenda pemerkasaan wanita memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sektor swasta dan tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, tegas Datuk Seri Nancy Shukri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan golongan wanita sama ada di bandar atau pedalaman mendapatkan peluang yang sama.

Nancy (dua kanan) dan tetamu kehormat yang lain mengiringi Abang Johari (tiga kanan) menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo. FOTO GHAZALI BUJANG

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) percaya bahawa pemerkasaan wanita perlu dirasai dalam kehidupan seharian.

“Sehubungan itu, kita mengambil pendekatan turun padang bagi mendekati komuniti, mendengar sendiri keperluan mereka serta memastikan tiada wanita Sarawak yang tercicir,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo yang dirasmikan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Pullman Kuching, hari ini.

Tambahnya, dari sudut ekonomi KPWKM telah melaksanakan program Wanita Dinamik untuk membantu wanita menjana pendapatan dan berdikari.

“Sejak 2021, seramai 21,274 wanita di seluruh negara telah dibantu manakala di Sarawak sahaja kira-kira 8,000 wanita menerima manfaat, termasuk hampir 300 orang yang bersama-sama kita hari ini (28 Januari) dan setiap peserta juga diberi geran RM500 untuk perusahaan kecil masing-masing.

“Kira-kira RM4 juta telah diperuntukkan
khusus untuk Sarawak dalam usaha menyokong peluang keusahawanan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya juga memperkukuh kepimpinan melalui program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) dengan 100 wanita dipilih di seluruh negara dan 11 daripadanya dari Sarawak.

“Mereka menerima geran RM50,000 untuk melatih wanita lain dalam bidang kepimpinan, kreatif dan keusahawanan.
Secara keseluruhan, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 4,122 peserta termasuk 644 dari zon Borneo,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kesihatan wanita juga tidak boleh diketepikan disebabkan itu kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyasarkan 32,000 menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA tahun ini.

“Di Sarawak, Kampung Santubong dipilih sebagai lokasi perintis dan sejak beberapa tahun lalu lebih 53,000 wanita Sarawak telah disaring, membolehkan kes dikesan lebih awal dan nyawa diselamatkan.

“Setiap usaha ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan wanita Sarawak bukan sahaja dilindungi, tetapi diberi pemerkasaan daripada aspek pendapatan, kepimpinan hinggalah kesihatan. Apabila wanita berdikari dan sihat, seluruh keluarga akan lebih sejahtera,” jelasnya.

Beliau memaklumkan wanita merangkumi hampir separuh penduduk di negara dan sumbangan mereka juga melengkapkan setiap usaha pembangunan yang dilaksanakan.

“Wanita telah melangkah jauh, namun masih banyak ruang untuk diperbaiki.
Sebab itulah Hari Wanita Antarabangsa disambut untuk kita menghargai pencapaian wanita kini sambil memperkukuh usaha membuka lebih banyak ruang dan peluang pada masa hadapan,” tegasnya.

Sementara, mengenai acara yang berlangsung dengan tema Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara, beliau menyatakan ia mengingatkan semua pihak bahawa kekuatan negara bermula daripada kekuatan wanita. Jika wanita kita yakin, berilmu dan berdaya saing, masa hadapan Sarawak pasti lebih cerah.

“Dengan semangat itu, saya yakin di bawah kepimpinan Premier dan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, agenda pemerkasaan wanita di Bumi Kenyalang akan terus diperkukuh,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU