ARTIKEL

Gambar hiasan

Pemilik premis didenda RM3,000 kerana pamer produk rokok tidak patuh akta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara ke atas seorang pemilik premis kerana gagal mematuhi peruntukan larangan pameran produk tembakau bagi tujuan jualan di premis miliknya, pada Oktober 2025.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dibaca bersama Seksyen 10(2)(a)(i) akta yang sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Pasukan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong telah menjalankan Ops Rokok di sekitar Pekan Betong ketika kejadian berlaku.

Hasil operasi mendapati tertuduh mempamerkan produk rokok bagi tujuan penjualan tanpa mematuhi kehendak yang ditetapkan di bawah akta berkenaan, sekali gus membawa kepada pengeluaran notis kesalahan serta Notis Kehadiran ke Mahkamah di bawah Seksyen 47 akta sama.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Seksyen Inspektorat dan Perundangan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Kana Lakui, memaklumkan bahawa pemilik premis bertanggungjawab memastikan penjualan produk merokok mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, peniaga diwajibkan menggunakan rak tertutup atau pelindung yang tidak menonjolkan jenama produk merokok, manakala hanya senarai harga tanpa gambar atau logo, serta mengikut saiz yang ditetapkan, dibenarkan untuk rujukan pembeli.
Pihak pendakwaan turut menghujahkan bahawa walaupun tertuduh mengaku bersalah, beberapa faktor memberatkan perlu diambil kira, antaranya kesalahan dilakukan secara terbuka dengan pameran produk merokok yang mudah dilihat oleh orang awam, termasuk kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, pameran yang melibatkan pelbagai jenama serta kuantiti produk menunjukkan kesalahan dilakukan secara aktif bagi tujuan komersial, sekali gus bercanggah dengan objektif akta untuk melindungi kesihatan awam.

Mahkamah dimohon menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta pencegahan umum supaya pemilik premis lain tidak memandang ringan tanggungjawab mematuhi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU