JEPAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee turun menyantuni sendiri pemilik rumah di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) yang telah siap.
Beliau telah melawat pemilik rumah di tiga kampung dan Rumah Perumahan Rakyat (RPR) semalam.
Dalam lawatan tersebut, beliau bertanya sendiri kepada pemilik berkenaan hasil penambahbaikan ini dan kekurangan yang perlu ditambah baik bagi keselesaan golongan ini.
Iskandar turut berterima kasih kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilawati kerana telah sama-sama memberikan kerjasama kepada program ini dan akan sentiasa memberi perhatian terhadap mereka.
Pemilik rumah juga difahamkan menyatakan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah menolong mereka untuk memperbaiki rumah mereka.

