SIMANGGANG: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak diseru segera menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu bagi mengelakkan pertikaian berkaitan sempadan tanah pada masa hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, sehingga 31 Mei lalu, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah berjaya menyelesaikan pengukuran tanah NCR seluas 1,238,159 hektar di seluruh negeri.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik tanah NCR yang masih belum menyertai program berkenaan agar segera berbuat demikian demi menjaga kepentingan generasi akan datang.
Menurutnya, kebanyakan generasi muda Sarawak kini menetap di bandar, di luar negeri atau di luar negara dan hanya pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan.
“Keadaan ini menyebabkan ramai dalam kalangan mereka tidak lagi mengetahui sempadan sebenar tanah NCR milik keluarga berbanding generasi terdahulu yang lebih arif mengenai kawasan tersebut.
“Jika perkara ini tidak ditangani lebih awal, ia berpotensi menimbulkan pertikaian atau perselisihan faham mengenai pemilikan dan sempadan tanah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS bagi Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.

Beliau berkata, penyertaan dalam Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu penting bagi memastikan sempadan tanah dikenal pasti dan didokumentasikan dengan jelas, sekali gus memudahkan proses pewarisan kepada anak cucu serta mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan.
Beliau turut memaklumkan bahawa daripada keseluruhan 1,238,159 hektar tanah NCR yang telah diukur, sebanyak 966,938 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Pada majlis tersebut, seramai 468 penerima dari kawasan DUN Bukit Begunan, DUN Simanggang dan DUN Lingga menerima sebanyak 620 Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Selain itu, sebanyak 72 Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak turut diserahkan kepada penerima dari kawasan DUN Balai Ringin, DUN Bukit Begunan dan DUN Simanggang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak, Datuk Jasni Jubli; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; wakil Pengarah JTS Sarawak, Sr Roslan Putit; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; serta Penguasa JTS Sri Aman, Michaelson Nyisin.

