SERIAN: Negara kehilangan seorang lagi tokoh besar, pemimpin masyarakat Bidayuh Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam, pada usia 91 tahun.
Ahli Parlimen pertama bagi kawasan Serian itu meninggalkan balu, Datin Amar Mary Margaret Lenuh serta enam orang anak, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Mendiang merupakan salah seorang tokoh penting dalam lipatan sejarah pembentukan Malaysia, dikenang sebagai antara individu utama yang berjaya meyakinkan masyarakat Bidayuh untuk menyokong penyertaan Sarawak dalam penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Keupayaan beliau dalam menjalin kepercayaan dan perpaduan antara kaum menjadi asas kepada kestabilan politik yang dinikmati hingga ke hari ini.
Selepas bersara daripada arena politik, sumbangan beliau kepada masyarakat dan kerajaan negeri tidak terhenti.
Beliau terus berkhidmat dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dan Temenggong bagi komuniti Bidayuh.
Antara pencapaian penting dalam kerjayanya termasuk menjadi ahli Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang memainkan peranan penting dalam rundingan pembentukan Malaysia.
Beliau juga pernah menjawat jawatan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak (1971–1973) dan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dari tahun 1973 hingga 1975.
Selain kepimpinan dalam pentadbiran dan masyarakat, mendiang turut dikenang sebagai tokoh pendidikan. Pengasas Sekolah Rendah St. Dominic Kampung Pichin dan menjadi guru besar pertama sekolah tersebut pada tahun 1955.
Atas jasa dan sumbangan luar biasa kepada negeri dan negara, beliau telah dianugerahkan pelbagai penghormatan tertinggi.
Pada tahun 2019, beliau menerima Darjah Kebesaran Datuk Amar (DA) gelaran ketiga tertinggi negeri Sarawak.
Sebelum itu, beliau turut menerima Anugerah Tokoh 1Malaysia pada 2009 dan Pingat Khas Pengasas Perjuangan Kemerdekaan bersempena Jubli Intan Kemerdekaan Sarawak.
Majlis penghormatan terakhir mendiang akan diadakan di kediamannya di No. 1 Kampung Pichin, Serian, bermula hari ini sehingga Ahad.
Upacara pengebumian pula pada Isnin, 19 Mei di tanah perkuburan Kampung Pichin, selepas penghormatan terakhir di Gereja Trinitas Kudus Kampung Pichin jam 9 pagi.
Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada masyarakat Bidayuh, tetapi juga kepada seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia yang pernah mendapat manfaat daripada kepimpinan, kebijaksanaan dan jasa baktinya.


