KUCHING: Pemindahan penduduk kampung di sekitar Tabuan merupakan syarat utama sebelum projek pembesaran jalan di Kampung Tabuan Melayu dapat dilaksanakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pemindahan penduduk kampung menerusi skim perumahan yang dirancang Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni itu bakal memberikan ruang untuk projek pembesaran jalan.
“Ini disebabkan jalan yang sedia ada terlalu sempit serta kawasan ini sudah padat dengan penduduk seramai 12,827 orang yang melibatkan tujuh kampung.
“Malah ada juga sebahagian tanah di situ dimiliki oleh syarikat swasta menjadikan prosesnya lebih rumit.
“Justeru ini merupakan langkah terbaik yang dirancang oleh Dr Hazland untuk membina projek perumahan khususnya dalam bentuk pangsapuri kerana sekurang-kurangnya ia membolehkan penyediaan lebih banyak unit kediaman bagi penduduk kampung,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban Zon Tabuan anjuran YADIM di Masjid Darul Sa’adah, Kampung Tabuan Hilir di sini hari ini.
Sementara itu Penghulu Kampung Tabuan Melayu Amzah Dollah menjelaskan bahawa projek pembinaan sebuah pangsapuri 10 tingkat fasa pertama di Muara Tabuan berdekatan dengan Toko Electronic (Sarawak) Sdn Bhd kini telah mencapai 60 hingga 70 peratus kemajuan.
“Perumahan Rumah Spektra Permata (RSP) sedang menunggu tanah stabil sebelum memulakan pembinaan khas buat orang Tabuan Melayu yang mendiami Kampung Tabuan Melayu dan tidak mempunyai harta.
“Satu lagi projek perumahan yang sedang dilaksanakan kini ialah jenis pangsapuri yang terletak di Kampung Tabuan Selipar Putus (SPC) khusus untuk mereka yang menetap di rumah bapa tidak memiliki rumah sendiri tinggal di tanah milik orang atau di kawasan tepi sungai.
“Seramai 1,200 orang dalam Kampung Tabuan Melayu dikenal pasti menetap di rumah orang lain dan kita telah merujuk perkara ini kepada Dr Hazland untuk mengutamakan keperluan mereka,” tegasnya lagi.




