KUCHING: Cadangan memotong sehingga RM3.06 bilion daripada bajet kesihatan yang sudah pun terbeban mungkin membawa kesan tidak diingini, bukan sahaja terhadap operasi di kemudahan kesihatan tetapi yang lebih penting terhadap penjagaan pesakit, kata Dr Kelvin Yii.
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menegaskan walaupun memahami keperluan untuk berbelanja secara berhemat berikutan krisis bekalan global, namun sistem penjagaan kesihatan awam merupakan benteng penting dalam menjaga kesihatan rakyat.
“Namun, ia kini sudah pun berada di bawah tekanan yang teruk serta berdepan kekurangan kronik.
“Arahan daripada Kementerian Kewangan ini mungkin mempunyai niat yang baik, khususnya untuk mengamalkan pendekatan fiskal berhemah dalam mengoptimumkan sumber kerajaan.
“Namun, jangkaan untuk menjimatkan sehingga RM3.06 bilion daripada RM10 bilion menerusi Kementerian Kesihatan merentasi semua kementerian dilihat tidak peka serta menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap operasi yang sudah pun terbeban di lapangan di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Menjelas lanjut, Kelvin berkata jumlah tersebut mewakili satu pertiga daripada keseluruhan penjimatan semua kementerian.
Justeru, katanya kebimbangan utama adalah kesannya terhadap penjagaan pesakit, yang mungkin muncul dalam bentuk pembedahan yang ditangguhkan, tempoh menunggu yang lebih panjang, kekurangan ubat-ubatan, kemudahan hospital yang semakin uzur, keletihan petugas kesihatan, komplikasi perubatan yang boleh dicegah, dan akhirnya kematian yang sepatutnya dapat dielakkan.
“Malangnya, golongan paling terkesan ialah keluarga berpendapatan rendah, warga emas, mereka yang menghidap penyakit kronik, kanak-kanak serta komuniti di kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak.
“Jangan kita lupa, lebih 70 peratus rakyat Malaysia bergantung kepada sistem awam ini untuk keperluan kesihatan mereka,” katanya.
Kelvin menambah, kebimbangannya juga adalah bagaimana langkah berkenaan boleh memburukkan lagi krisis tenaga kerja kesihatan yang sedang dihadapi negara.
“Bagi Sabah dan Sarawak sahaja, kita kekurangan sehingga 6,000 doktor perubatan untuk memberi perkhidmatan sewajarnya di rantau ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Kementerian Kesihatan tidak seharusnya dilihat sebagai sasaran mudah untuk penjimatan.
“Perbelanjaan kesihatan bukanlah kos yang perlu diminimumkan, sebaliknya ia adalah pelaburan awam yang teras.
“Ia melindungi nyawa, menyokong produktiviti, menjadi asas kestabilan ekonomi serta membina kepercayaan sosial,” katanya.
Kementerian Kewangan dilapor mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.
Menurut laporan, pengurangan itu membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun pihak Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas.
Cadangan pengurangan itu dilihat sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk mengekang perbelanjaan dan memastikan kemampanan fiskal, sejajar dengan usaha lebih luas dalam pengurusan kewangan negara menjelang pelaksanaan dasar berkaitan Belanjawan 2026.



