ARTIKEL

SUSPEK ketika ditahan di belakang kediamannya di Kabong, semalam.

Pemuda ditahan curi kabel elektrik di Kabong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KABONG: Polis Saratok menahan seorang pemuda tempatan berusia 28 tahun kerana terlibat dalam kecurian kabel elektrik di sebuah tangki simpanan air di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau itu ditahan pada Selasa oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji.

Menurutnya, suspek ditahan di belakang rumahnya ketika sedang menanggalkan penebat kabel elektrik yang dipercayai untuk dijual.

“Hasil maklumat, kita menahan suspek di belakang rumahnya ketika sedang menanggalkan penebat kabel elektrik untuk dijual.

“Suspek ditahan dan disiasat lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mathew berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin dan methamfetamin.

Katanya lagi, suspek yang merupakan seorang penganggur dipercayai melakukan perbuatan tersebut bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku pergi ke lokasi kejadian sebanyak dua kali, iaitu pada 16 dan 18 Ogos.

“Pada kali pertama, suspek memasuki kawasan berkenaan melalui pintu pagar yang telah dirobohkan sebelum memotong beberapa wayar pada suis utama serta wayar yang terdapat di bilik penjana menggunakan pemotong wayar.

“Suspek turut membuka suis utama di bilik pam air bagi mendapatkan kabel yang disambungkan kepada suis berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, suspek kemudian membawa kabel yang dipotong berkenaan pulang ke rumahnya di Kabong.

Polis kini meneruskan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan dan mengenal pasti jumlah kerugian serta penglibatan suspek dalam kes berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU