TATAU: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas dipercayai tergelincir dalam sebuah kolam berhampiran rumah pekerja di simpang Rumah Kiroh Bali, ditemui meninggal dunia hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, jasad, Daniel Jumau, 23, dijumpai pasukan penyelamat di dasar kolam menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung pagi tadi.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau menerima panggilan kecemasan pada 4.18 petang semalam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Hasil maklumat rakan mangsa, dia keluar untuk mandi namun tidak pulang seperti biasa. Tuala dan seliparnya ditemui di tepi kolam sebelum kehilangannya dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Operasi SAR membabitkan sembilan anggota BBP Tatau, empat anggota Pasukan Penyelam di Air (PPDA) Zon 5 dari BBP Bintulu, selain bantuan PDRM dan APM.

Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


