Penagih ditahan miliki ganja

PADAWAN: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara dan sebat selepas didapati memiliki ganja seberat 21.65 gram dianggarkan bernilai RM324.75

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 26 tahun ditahan dalam serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padawan di tebingan sungai Kampung Sungai Maong sekitar jam 4 petang Isnin lalu.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis Tetrahydoconnabinol (THC),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Aidil, lelaki tempatan itu kini direman selama dua hari sehingga 4 Julai ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun termasuk tidak kurang tiga sebatan.

Justeru, beliau menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada polis untuk bersama-sama membendung masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat.