KUCHING: Seorang penagih dadah tegar yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah akhirnya akur apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Joseph, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, dia mempunyai enam rekod lampau pada tahun 2017, 2018 dan 2023 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan kali ini, dia didakwa mengambil dadah terlarang jenis Methamphetamine dan Amphetamine ketika ditangkap dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Serian sekitar jam 12.15 tengah malam, 9 Mei lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1)(b) akta yang sama.
Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Manakala Seksyen 39C(1)(b) memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta tidak lebih daripada tiga sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, semasa kejadian pihak polis telah menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tertuduh positif dadah.
Laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak turut mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

