BINTULU: Kerajaan Sarawak tidak seharusnya menamatkan lesen pengedaran gas MyGaz dan membenarkan Petros Niaga memonopoli perniagaan pengedaran gas petroleum cecair asli (LPG) di negeri ini.
Demikian tegas Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang berkata pengumuman mengejut itu bukan sahaja menghentikan semua perniagaan MyGaz di Sarawak, tetapi juga menghentikan perniagaan semua peruncit dan pengedar MyGaz di Sarawak dan pekerja mereka.
Awal minggu ini, katanya Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Julaihi Narawi telah mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak tidak akan memperbaharui lesen pengedaran gas MyGaz bermula 1 Disember ini.
“Keputusan ini sekali gus akan menyebabkan Petros Niaga menjadi pengedar tunggal LPG di Sarawak.
“Dalam jangka masa panjang, kita semua tahu bahawa perniagaan monopoli tidak baik untuk pengguna. Tanpa sebarang persaingan, syarikat tidak akan mempunyai insentif untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada harga serendah mungkin kepada pengguna.
“Apabila kuasa pengagihan gas dipersetujui untuk diturunkan daripada Kerajaan Persekutuan (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2019, ia bertujuan agar penurunan kuasa tersebut akan menghasilkan perancangan dan pelaksanaan dasar pengagihan gas LPG yang lebih cekap di Negeri ini dan seterusnya membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah, Chong yang juga ADUN Padungan, walaupun beberapa tahun telah berlalu sejak penurunan kuasa itu, namun, ia masih tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Tiada pengurangan harga LPG kepada pengguna dan tiada pengurangan kos penghantaran kepada pengguna.
“Dengan wujudnya monopoli ini dalam perniagaan pengedaran LPG di Sarawak bermula Disember 2023, dan bukannya menikmati apa-apa faedah daripada penurunan kuasa, rakyat Sarawak mungkin akan dikenakan bayaran lebih untuk penggunaan LPG mereka pada masa akan datang.
“Dengan mewujudkan monopoli dalam industri pengedaran LPG, Kerajaan GPS telah melakukan kesalahan dan menyalahgunakan kuasa yang diturunkan dalam pengagihan gas,”ujarnya lagi.

