KUCHING: Cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak wajar dilengahkan kerana cadangan itu dibuat berdasarkan keperluan sebenar rakyat dan pembangunan negeri, tegas Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang.
Beliau menjelaskan penambahan kerusi berkenaan penting bagi memastikan kawasan yang luas, khususnya di luar bandar, mendapat representasi wakil rakyat yang lebih berkesan selaras dengan pertambahan penduduk serta peningkatan tuntutan perkhidmatan awam.
Beliau yang juga ADUN Muara Tuang berkata, cadangan penambahan 17 kerusi itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya sudah melalui kajian menyeluruh sebelum dibahaskan dan diluluskan di peringkat DUN Sarawak.
“Ini keperluan pembangunan Sarawak. Pihak yang bertanggungjawab perlu bertindak dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan rasa tanggungjawab dengan menghormati keputusan DUN Sarawak serta menyegerakan kelulusan penambahan kerusi ini,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kelewatan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memberi implikasi besar dan menjejaskan hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan 99 kerusi DUN sebagai asas untuk menuntut pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan.
Untuk rekod, DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menyaksikan pertambahan 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi DUN.



