KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) masih menguatkuasakan larangan terhadap penanaman guarana, tegas Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben.
Menurutnya, sehingga kini juga syarikat yang terlibat dalam pengimportan guarana ke Malaysia masih tidak dapat mengesahkan pematuhannya terhadap prosedur larangan yang ditetapkan di bawah undang-undang No.13, 123/15, 20 Mei 2015 Akses dan Perkongsian Faedah daripada Sumber Genetik dan Pengetahuan Berkaitan Tradisional (ABS).
“Tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal yang terlarang boleh disita, ditahan dan dihapuskan.
“Mana-mana individu yang membawa masuk komoditi terlarang ini boleh dikenakan saman tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya sekali mengikut Seksyen 19A Akta 167,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang pada hari ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, JPS juga telah membuat hebahan media mengenai isu pengimportan guarana ini melalui laman sesawang rasmi mengenai larangan penanaman guarana ini dan sebarang aktiviti penanaman guarana adalah dilarang sepenuhnya.
Katanya, guarana atau nama saintifiknya Paullinia C upana adalah daripada keluarga Sapindaceae manakala tanaman kopi pula adalah dari keluarga Rubiaceae.
“Jadi, harus ditekankan di sini bahawa tanaman guarana dan kopi adalah dua tanaman yang berbeza kerana minuman berasaskan guarana sering dipromosikan sebagai “kopi” guarana sekali gus merupakan salah satu tumbuhan yang mengandungi kafein.
“Masyarakat beranggapan bahawa guarana adalah kopi dari keluarga yang sama. Bagaimanapun, ia merupakan tanaman herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil,” tegasnya.
Dalam pada itu, katanya, penanaman guarana juga berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum G uaranicola yang dilaporkan bukan sahaja menyerang spesies guarana, tetapi juga tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik, pisang, mangga, dan cili.
“Buat masa ini, maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad maka akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan ini berlaku di Malaysia,” jelasnya.
Untuk rekod, di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan Peraturan- peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal seperti berikut dilarang dibawa masuk ke Sarawak selain untuk tujuan penyelidikan.
Antaranya adalah tanih; tanaman dari keluarga Hevea; tumbuhan dari kawasan American Tropics atau mana-mana negara yang mempunyai penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB); tumbuhan dari kawasan Koko Afrika (endemik kepada penyakit kelapa, kelapa sawit dan koko seperti Cocoa Swollen Shoot Virus Complex , Lethal Yellowing , Kaincope, dan Cadang-Cadang Virus); perosak dan penyakit tumbuhan seperti di dalam Jadual 4 Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981; dan tumbuhan-tumbuhan berjadual seperti di dalam Jadual 3 Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

