PENANTIAN selama 19 tahun akhirnya terubat apabila kumpulan rock alternatif Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), kembali gegarkan pentas Malaysia menerusi dua malam konsert di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 19 dan 20 November lalu.
Kejayaan menghimpunkan lebih 100,000 peminat sepanjang dua hari persembahan membuktikan pengaruh MCR masih utuh dan menjadikan kepulangan mereka antara detik bermakna buat peminat muzik rock alternatif tempatan.
Konsert anjuran Hello Universe itu menyaksikan kira-kira 62,000 peminat menghadiri persembahan malam pertama pada Khamis dengan ribuan peminat memenuhi stadium untuk menyaksikan kumpulan berkenaan beraksi secara langsung selepas kali terakhir mengadakan persembahan di Malaysia pada 2007.
Dibarisi Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero, MCR membawa penonton mengimbau kembali kenangan menerusi lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka, khususnya ketika gelombang muzik emo dan rock alternatif memuncak pada era 2000-an.
Membuka tirai persembahan dengan sketsa bertemakan Phantom, kumpulan itu meneruskan segmen Medication Time / Anthem menerusi lagu The End, Dead!, This Is How I Disappear dan The Sharpest Lives.
Gerard turut mencuri perhatian menerusi persembahan teatralikal ketika menyampaikan lagu ikonik Welcome to the Black Parade, dengan penampilan bermulut hitam yang menambahkan elemen dramatik pada persembahan.
Lagu ini menjadi antara kemuncak malam apabila puluhan ribu peminat menyanyi bersama-sama, menjadikan stadium seolah-olah sebuah koir gergasi.
Suasana diteruskan menerusi lagu I Don’t Love You dan House of Wolves sebelum peminat dihiburkan dengan rangkaian lagu Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchanted dan Famous Last Words.
MCR kemudian menghidupkan suasana menerusi lagu Give ‘Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Our Lady of Sorrows, diikuti SING, AMBULANCE, Cemetery Drive serta The Kids From Yesterday.
Persembahan Helena turut menjadi antara momen yang dinanti-nantikan peminat pada malam pertama.
Kejayaan konsert itu bukan sahaja diukur menerusi jumlah kehadiran penonton, malah melalui sambutan luar biasa terhadap lagu-lagu yang kekal relevan meskipun selepas hampir dua dekad.
Kepulangan MCR turut memperlihatkan bagaimana muzik mampu menghubungkan generasi berbeza, dengan peminat lama kembali menghayati karya yang pernah menjadi sebahagian daripada zaman remaja mereka, manakala pendengar baharu berpeluang menyaksikan sendiri daya tarikan kumpulan berkenaan.
Dua malam di Bukit Jalil itu mengukuhkan kedudukan MCR sebagai antara kumpulan rock alternatif yang terus meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan peminat membuktikan penantian panjang mereka berbaloi.



