KUCHING: Penantian lebih lima tahun bagi pembeli perumahan di Borneo Samariang Garden di sini akhirnya berakhir selepas permit menduduki (OP) perumahan mereka diserahkan hari ini.
Pembeli yang telah menanggung perit mambayar ansuran bulanan beserta kadar sewa rumah yang tinggi kini lega dan boleh masuk ke rumah pertama mereka setelah menantikan unit yang sepatutnya diterima pada 2019 hingga 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Perumahan Teres Satu Tingkat B23/Fasa Lima Borneo Samariang Garden (JBPF5) Mohd Zulfika Abdolkader berkata, penyelesaian kepada projek sakit ini adalah satu kemenangan yang besar untuk pembeli.
Katanya komitmen yang diberikan oleh ahli JBPF5 adalah merupakan kunci kepada kejayaan besar mereka pada hari ini.
“Kesemua gerak kerja dan desakan yang dibuat JBPF5 telah diputuskan secara kolektif serta dilaksanakan secara matang, professional dan berasaskan fakta walaupun pada awalnya masalah ini dilihat sebagai isu yang mustahil untuk diselesaikan.
“Terima kasih kepada ahli JBPF5 di atas komitmen yang tinggi dalam usaha memperjuangkan hak kita sebagai rakyat di Bumi Kenyalang yang kita sayangi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selepas menerima permit menduduki perumahan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, hari ini.
Zulfika juga berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen yang diberikan untuk menyiapkan projek ini.
Jelasnya kejayaan hari ini adalah hasil mandat dan komitmen Premier, mencerminkan tekad Kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan isu ini.
“Kita juga berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang telah menaja khidmat guaman serta ADUN Pantai Damai Datuk Abdul Rahman Junaidi yang banyak membantu menyiapkan projek perumahan ini.
“Tidak lupa juga kepada Setiausaha dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Datuk Dr Mohamad Abdullah Zaidil kerana membantu dalam memudahkan masalah-masalah berkaitan dengan perumahan dan turun ke pejabat Sentoria untuk berunding dan berbincang dengan pemaju.
“Terima kasih juga atas bantuan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, seluruh warga kerja DBKU dan seluruh warga kerja Jabatan Tanah dan Survei,” ujarnya.
