BETONG: Kerajaan Sarawak meluluskan kerja penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 2,110 hektar milik penduduk Lempaong Anyut di kawasan Paku.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha ini menamatkan penantian panjang penduduk yang mahu tanah NCR mereka disahkan pemilikan melalui kerja penyukatan yang diluluskan.
“Kelulusan tersebut melibatkan permohonan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak sebelum diteruskan kepada pemberian milikan individu di bawah Seksyen 18 kanun yang sama.
“Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong telah memberi taklimat mengenai permohonan mereka yang telah diluluskan,” katanya semasa menghadiri Taklimat Inisiatif Baharu Tanah NCR di Rumah Panjang Lempaong Anyut, Paku, semalam.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan projek perintis di Ulu Paku dan kini diperluas melibatkan tujuh rumah panjang di kawasan Anyut iaitu Lempaong Anyut, Lingit, Engkerebai, Jitu, Nanam, Udau dan Sungai Rian.
Terdahulu semasa sesi dialog bersama penduduk, tuai rumah serta komuniti setempat turut diberikan peluang mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan berkaitan tatacara baharu penyukatan tanah NCR.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban menegaskan, usaha ini membuktikan keikhlasan dan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pemilik tanah adat.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa membantu pemilik tanah NCR. Tanah adat yang belum mempunyai pemilikan (title) akan diberi. Ini bukti kesungguhan kerajaan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menggesa penduduk memastikan tiada pertikaian yang boleh melambatkan proses penyukatan dan penukaran status hak milik.
Ahli Parlimen Betong Datuk Dr. Richard Rapu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nayup dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai turut hadir sama.

Pencegahan Dadah Perlukan Kerjasama Berterusan Semua Pihak
BINTULU: Program Mini Bowling: Strike Out Drugs! bukan sahaja menjadi wadah menggalakkan gaya hidup sihat, malah berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat dengan bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya
