KUCHING: Pencalonan Anugerah Seni Negeri Sarawak (ASNS) 2025 kini dibuka bermula 1 Jun lalu hingga 1 Julai depan.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) mengalu-alukan persatuan seni budaya, penggiat industri seni budaya, karyawan, syarikat korporat dan individu untuk mengemukakan pencalonan di Sarawak.
Antara kategori anugerah ASNS ialah Anugerah Tokoh Seni Negeri Sarawak, Anugerah Pendukung Seni Sarawak bagi badan bukan kerajaan, Anugerah Pendukung Seni Sarawak bagi agensi kerajaan dan korporat serta Anugerah Pendukung Seni Sarawak bagi media.
Bagi Anugerah Tokoh Seni Negeri Sarawak melibatkan bidang seni persembahan seperti teater, tari dan muzik.
Syarat-syarat pencalonan dan borang permohonan boleh didapati dengan mengimbas kod QR yang tertera dalam poster atau hadir ke Pejabat JKKN Sarawak untuk mendapatkan borang pencalonan.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 Julai depan, jam 12 tengahari.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Urus Setia Jawatankuasa Pencalonan ASNS 2025 di talian 082-422 006 (waktu pejabat sahaja) atau pegawai penyelaras Juhan Junaidi melalui WhatsApp 011-3561 1513.

