KUCHING: Pencapaian Band 5 pada Tahun 6 adalah wajib bagi pelajar Sarawak untuk meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
Pemarkahan Band adalah menerusi sistem Penilaian Berdasarkan Sekolah (PBS) yang diberikan dalam bentuk Band.
Terdapat enam Band yang akan diberikan kepada murid, iaitu Band 1 untuk pemarkahan paling rendah dan Band 6 untuk pemarkahan paling cemerlang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata pelajar yang memenuhi syarat Band 5 layak untuk menduduki peperiksaan kemasukan yang dijalankan oleh Yayasan Sarawak dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne.
“Setelah mereka lulus peperiksaan kemasukan itu, mereka akan ditapis berdasarkan latar belakang sosioekonomi, iaitu B40, M40 dan T20.
“Jika anda B40, M40 atau T20, mahupun T20 teratas juga akan diambil, tiada kaitan dengan latar belakang kaum anda. Itu yang saya nak tekankan.
“Jadi ia adalah semata-mata berdasarkan sosioekonomi anda serta keputusan peperiksaan anda,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media pada Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, kemasukan ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak tidak berdasarkan kuota kaum tetapi sepenuhnya berasaskan meritokrasi.
“Ini kerana banyak sekolah menerima kemasukan berdasarkan kuota kaum dan merit, seperti di MARA atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
“Oleh itu, kami ingin rakyat Sarawak memahami tujuan utama penubuhan sekolah-sekolah ini adalah untuk memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak.
“Kemasukan anda ke sekolah-sekolah ini memang mengambil kira sosioekonomi dan keputusan peperiksaan anda,” jelasnya.
Menjelas lanjut, beliau berkata setakat ini terdapat 403 pelajar yang sudah mendaftar di dua Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Petra Jaya dan Batu 12, Kuching-Serian Road.
“Setakat ini, 55.4 peratus pelajar datang dari keluarga B40 (berpendapatan rendah), 32.3 peratus dari keluarga M40 (berpendapatan sederhana) dan 12.3 peratus dari keluarga T20 (berpendapatan tinggi),” katanya.
Sarawak sudah mempunyai lima Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
Dua sudah beroperasi di Kuching manakala yang ketiga bakal beroperasi di Sibu dan dijangka bermula pada 2026.
Sekolah ini juga menawarkan sukatan pelajaran antarabangsa dan memberikan keutamaan kepada pelajar kumpulan B40 yang akan mendapat tajaan biasiswa.



